Google hari ini mengumumkan satu langkah signifikan dalam dunia teknologi mudah alih apabila ciri Quick Share kini boleh beroperasi bersama sistem AirDrop milik Apple. Kemas kini ini membolehkan pemindahan foto dan fail dilakukan secara terus antara peranti Android dan iPhone tanpa halangan sistem operasi, bermula dengan siri telefon pintar Google Pixel 10.​

Melalui integrasi baharu ini, pengguna Android kini boleh menggunakan Quick Share untuk memindahkan fail kepada pengguna iPhone, manakala pengguna iPhone boleh menggunakan fungsi AirDrop sedia ada untuk menghantar fail ke peranti Android.

Menurut Google, ciri rentas platform ini dibina dengan mengutamakan aspek keselamatan, di mana data dilindungi melalui perlindungan yang telah diuji secara bebas oleh pakar keselamatan.​

“Perkongsian momen bersama keluarga dan rakan tidak seharusnya bergantung pada telefon yang mereka gunakan,” jelas Google dalam satu kenyataan. Syarikat itu menambah bahawa fungsi ini adalah satu lagi usaha mereka untuk membawa keserasian yang lebih baik antara sistem operasi, menyusuli kemas kini RCS dan penjejak tidak dikenali sebelum ini.​

Bagi membolehkan pemindahan fail dari Android ke iPhone, pengguna perlu memastikan tetapan berikut dipatuhi:

  • Penerima iPhone mesti menetapkan AirDrop kepada mod “Everyone for 10 minutes” (Semua orang selama 10 minit).
  • Pengguna perlu mengesahkan nama peranti pada skrin untuk memastikan fail dihantar kepada orang yang betul.
  • Sambungan adalah secara peer-to-peer secara langsung tanpa melalui pelayan, memastikan tiada data tambahan direkodkan.​

Google turut menjelaskan bahawa pelaksanaan semasa menggunakan mod “Everyone for 10 minutes” hanyalah langkah permulaan. Pihak Google mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Apple bagi membolehkan mod “Contacts Only” (Hanya Kenalan) pada masa hadapan.​

Ciri ini dilaporkan sudah tersedia di pasaran Amerika Syarikat, namun ujian awal mendapati ia belum berfungsi sepenuhnya di Malaysia walaupun menggunakan peranti terkini seperti Google Pixel 10 dan iPhone 17. Pelancaran dijangka akan berlaku secara berperingkat ke pasaran global.

Tinggalkan komentar