Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia kembali menawarkan sejumlah tempat duduk percuma untuk penerbangannya. Tawaran kali mencecah sehingga 5 juta tempat duduk, lebih banyak berbanding promosi sebelum ini.
Promosi ini boleh digunakan menerusi laman web rasmi AirAsia dan aplikasi Air Asia Super App yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store sehingga 25 September 2022.
Bagaimanapun, tempat duduk percuma ini hanya sah digunakan bagi penerbangan dalam tempoh di antara 1 Januari 2023 hingga 28 Oktober 2023. Oleh itu anda mungkin memerlukan perancangan rapi untuk memanfaatkan tawaran ini.
Tempat duduk percuma ini boleh didapati untuk penerbangan domestik ke destinasi tempatan seperti Langkawi, Penang, Johor Bahru, dan tempat-tempat lain yang disediakan oleh AirAsia. Anda juga boleh mendapat tempat duduk percuma ini untuk destinasi antarabangsa di dalam rantau ASEAN seperti Krabi, Phu Quoc dan Singapura.

Pun begitu, tempat duduk “percuma” ini tidak termasuk bayaran fii dan surcaj lain dengan penerbangan domestik berharga sekurang-kurangnya RM23 dan antarabangsa dari RM54.
Untuk anda yang ingin terbang lebih jauh, AirAsia X juga mengumumkan laluan penerbangan baahru dari KL ke Tokyo dan Sapporo dengan promosi pelancaran istimewa.
Bermula dari hari ini, anda boleh membeli tiket penerbangan terus satu hala berharga dari RM599 untuk ekonomi dan RM2,599 untuk flatbed premium. Tempoh tarikh penerbangan ke Tokyo pula dari 21 November 2022 hingga 24 Mac 2023. Manakala tarikh penerbangan ke Sapporo pula dari 1 Disember 2022 hingga 1 Februari 2023.
Syarikat penerbangan tambang murah ini juga mengumumkan penerbangan terus dari KL ke Jeddah, Arab Saudi dengan enam penerbangan setiap minggu bermula dari 14 November. Kos penerbangan bermula dari RM1,799 untuk ekonomi manakala flatbed premium pula berharga RM2,999. Tempoh tarikh penerbangannya pula adalah di antara 14 November 2022 hingga 25 Mac 2023.












