AirAsia telah mengumumkan Pas Tanpa Had baharu bagi penerbangan domestik di seluruh Malaysia. Pengumuman yang dibuat ini hadir ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan yang kini membenarkan pergerakan rentas negeri.

Pembelian boleh dibuat bermula dari jam 10 pagi 11 Jun 2020 sehingga jam 11:59 malam 13 Jun 2020 menerusi ruangan penawaran di laman web rasmi AirAsia dan aplikasi mudah alih.

Bagaimanapun, anda perlu menjadi ahli AirAsia BIG untuk mendapatkan pas yang bernilai RM399 ini. Tempoh sah laku Pas Tanpa Had ini adalah bagi perjalanan di antara 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.

Sebanyak 16 destinasi penerbangan domestik yang ditawarkan untuk pas tanpa had ini iaitu Alor Setar, Langkawi, Penang, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

Pemegang Pas Tanpa Had dikehendaki untuk menempah penerbangan 14 hari dari tarikh berlepas dan hanya boleh menggunakannya pada penerbangan yang ditandakan “100% off”.

Pas ini juga tidak termasuk dengan cukai-cukai dan juga penambahan lain seperti bagasi, hidangan, insurans dan lain-lain.

Pengguna juga boleh menempah sehingga dua penerbangan dalam satu hari. Namun, tidak dibenarkan dari lokasi berlepas yang sama. Selain itu, pengguna juga dibenarkan untuk sehingga 3 kali tidak datang (no shows) sebelum berdepan dengan tindakan pembatalan Pas Tanpa had.

Maklumat lanjut mengenai Pas Tanpa Had AirAsia ini boleh didapati menerusi halaman soalan-soalan lazim dan juga dokumen terma dan syarat.

 

Tinggalkan komentar