Kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) sering menjadi topik perbualan hangat masa kini. Beberapa syarikat ini mewajibkan penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti hingga mengakibatkan ribuan pekerja diberhentikan. Namun persoalannya, sejauh mana integrasi AI di tempat kerja ini benar-benar berkesan?
Menurut laporan GenAI Distribution: The State of AI in Business 2025 oleh kumpulan Networked Agents and Decentralised AI (NANDA) dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), gen AI gagal di 95% tempat kerja untuk meningkatkan pendapatan syarikat.
Hasil kajian tersebut dibuat berdasarkan temuramah 150 pegawai eksekutif, undian dari 350 kakitangan, dan ulasan dari 300 hebahan pengumuman pelaksanaan AI. Didapati AI hanya mempunyai impak positif terhadap syarikat pemula dengan kakitangan-kakitangan muda melihat pertumbuhan menggalakkan dalam keuntungan.
Ini kerana mereka yang terlibat sedar dengan isu-isu berbangkit dan melaksanakan rancangan dengan bagus. Mereka juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat AI yang terlibat bagi mengatasi masalah secara berkesan. Untuk syarikat-syarikat lain pula terdapat jurang pengetahuan menggunakan AI dan juga organisasi tersebut yang menjadikannya kurang berkesan.
Sebagai contoh ChatGPT merupakan alat bantuan AI yang cemerlang untuk individu, namun tidak cukup fleksibel untuk perusahaan kerana ia tidak boleh menyesuaikan dengan aliran kerja syarikat.
Oleh itu, laporan tersebut merumuskan kegagalan pelaksanaan bukan disebabkan oleh ketidakupayaan AI tersebut. Akan tetapi, tenaga kerja di organisasi berkenaan masih lagi belum cekap untuk mengintegrasikan sepenuhnya AI.













