Utama Laptop Acer Acer mula catat keuntungan selepas 7 tahun; Industri Permainan PC penyumbang utama

Acer mula catat keuntungan selepas 7 tahun; Industri Permainan PC penyumbang utama

1434
0

Acer kini telah mula kembali mencatatkan keuntungan setelah tujuh tahun mengalami defisit dan semua ini disebabkan oleh perkembangan industry permainan PC yang semakin meluas.

Fokus Acer terhadap segmen permainan PC nampaknya telah memberikan pulangan terhadap perniagaan Acer secara keseluruhannya. Penumpuan Acer terhadap segmen ini bermula pada tahun 2016 yang lalu apabila mula memperkenalkan laptop Predator yang mengkhususkan pada permainan PC.

Pertaruhan ini nampaknya membuahkan hasil apabila dalam jangka masa dua tahun, laptop-laptop Predator ini mampu menjana keuntungan buat Acer sungguhpun di dalam keadaan jualan PC di seluruh dunia yang semakin suram. Menurut Bloomberg, peranti-peranti permainan PC Acer telah membawakan keuntungan sekitar 13 hingga 15 peratus.

Segmen permainan PC amat kompetitif memandangkan ia turut disaingi oleh pengeluar-pengeluar utama lain seperti Asus, Dell Alienware, Razer dan juga MSI. Pun begitu, Acer telah menunjukkan kemampuannya di dalam segmen apabila menawarkan peranti yang berkuasa tinggi pada harga yang amat munasabah.

Secara keseluruhannya, segmen permainan PC merupakan pertaruhan yang berbaloi buat pengeluar-pengeluar PC memandangkan sukan-sukan elektronik mula mendapat tempat di kalangan masyarakat massa dan seterusnya meningkatkan hasil jualan perkakasan berkaitan seiring dengan pertambahan jumlah peminat sukan baru ini.

Turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan ini adalah perlombongan kripto yang menjadikan harga kad-kad grafik meningkat. Keadaan ini menyukarkan pengguna membina sendiri set computer untuk tujuan permainan apabila berlaku peningkatan kos. Justeru, membeli set PC permainan yang sudah siap dari pengeluar-pengeluar adalah lebih berbaloi dalam keadaan ini.

Acer sebelum ini pernah menjadi pengeluar terbesar komputer Windows dan CEO Acer memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengabaikan segmen lain perkomputerannya seperti untuk perniagaan dan laptop mampu milik, sungguhpun menerima keuntungan besar melalui jualan PC segmen permainan.

Sumber berita diperoleh dari Bloomberg

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.