Intel baru-baru ini telah mendedahkan produknya yang terbaru, pemproses Intel Core Generasi Ketujuh yang dikenali dengan nama kod, Kaby Lake. Pemproses generasi terbaru ini masih lagi menggunakan proses pembuatan 14nm yang sama seperti proses pembuatan pemproses generasi keenam (Skylake).
Namun begitu, Intel Core Generasi Ketujuh ini telah melalui banyak perubahan. Antaranya adalah enjin media yang menggabungkan pemecut perkakasan (hardware accelaration) VP9 and HEVC 10-bit. Ia tidak terdapat pada pemproses generasi sebelumnya. Kehadiran penambahbaikan ini amat membantu untuk fungsi main semula video 4K dan penghasilan kandungan dengan pada masa yang sama masih mampu mengekalkan tempoh penggunaan bateri sehingga 9.5 jam.
Menurut Intel, pemprosesan terbaru ini mampu menyediakan peningkatan berganda terhadap prestasi berbanding pemproses generasi keenam yang terdahulu. Intel juga turut menyatakan pemproses ini disasarkan kepada pengguna yang memiliki PC berusia lebih dari 5 tahun dan ke atas.
Selain itu, pemproses Intel Core Generasi Ketujuh ini turut menggalakkan pengeluar-pengeluarnya melakukan penambahan fungsi-fungsi lain seperti Thunderbolt 3 dan Windows Hello.
Buat permulaan, pemproses ini bakal digunakan pada laptop dan komputer 2-dalam-1 melalui model-model Core m3, Core i3, Core i5, dan Core i7 (akan dipecahkan kepada Y series dan U series). Kesemuanya merupakan pemproses dwi-teras dengan empat thread pemprosesan (teknologi Intel Hyper-Threading).
Dijangkakan, laptop dan komputer 2-dalam-1 yang menggunakan pemproses baru ini bakal menemui pengguna pada hujung tahun ini. Manakala untuk desktop pula, dijangkakan bakal hadir sekitar Januari 2017 kelak.

Sumber berita diperoleh dari The Verge













