Utama Mobile Android Kenapa pasang aplikasi Antivirus pada Android adalah kerja sia-sia

Kenapa pasang aplikasi Antivirus pada Android adalah kerja sia-sia

1125
0

Boleh dikatakan, hampir saban minggu kita menerima laporan berkenaan ancaman-ancaman malware terbaru pada peranti Android oleh firma-firma keselamatan ICT. Lazimnya, laporan berkenaan akan disusuli pula dengan langkah-langkah pencegahan yang memerlukan penggunaan produk-produk tertentu.

Ada betulnya langkah-langkah pencegahan yang disarankan di dalam laporan-laporan tersebut. Cuma pada pandangan saya, laporan-laporan ini kelihatan seperti usaha pemasaran produk oleh firma-firma keselamatan yang menerbitkan laporan berkenaan.

Lagipun, keperluan memasang perisian antivirus pada peranti Android ini tidak sama tahap keperluannya dengan komputer Windows. Oleh itu, penyebaran berita-berita ancaman ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada teknik pemasaran oleh firma-firma keselamatan berkenaan.

Bikin Gempak Lebih

Kita ambil contoh berita terkini berkenaan ancaman malware pada peranti Android berdasarkan laporan oleh firma keselamatan Check Point. Menurutnya, hampir satu billiun peranti Android mempunyai kerentanan kritikal di dalam kernel Linux. Tentu mengejutkan sebahagian pengguna yang peka.

Berita berkenaan memang sahih, cuma cara olahannya yang membuatkan kelihatan seolah-olah ianya masalah besar. Level masalah negara punya besar.

Tapi hakikatnya, masalah-masalah kerentanan yang dikenali sebagai Quadrooter ini sebahagiannya telah pun diatasi di dalam Android Open Source Project (AOSP). Bagi pengguna peringkat biasa-biasa yang buat ‘root’ Android pun tak reti, kerentanan ini tidak perlu dikhuatiri kerana model keselamatan Android pada hari ini sudah mencapai tahap matang (mature).

Malware yang biasa menjangkiti komputer Windows tidak dapat menjangkiti peranti-peranti Android dengan cara menyusup masuk seperti lazimnya pada komputer. Melainkan, peranti Android berkenaan telah menyediakan persekitaran yang membolehkan ianya dijangkiti seperti memberi keizinan pemasangan aplikasi menggunakan fail APK yang dimuat turun di tempat lain selain Play Store.

Kemaskini yang disediakan oleh pihak Google dan pengeluar-pengeluar peranti Android sudah mampu melindungi pengguna dari ancaman-ancaman malware. Itupun, bergantung dengan cara pemakaian pengguna Android itu sendiri jugek seperti memberi keizinan pemasangan fail APK luar Play Store dan gatal pi pasang aplikasi yang diragui kesahihannya itu.

Platform muat turun aplikasi Android ini mempunyai kemampuan untuk mengimbas sebarang malware yang terkandung pada aplikasi-aplikasi yang dimuat naik oleh para pembangun. Malah, proses kaji selidik aplikasi-aplikasi ini dilakukan secara manual oleh individu-individu yang dilantik. Ia telah mula dilakukan sejak beberapa bulan lalu bagi mengesan aplikasi scam dan palsu yang telah dikenal pasti bertujuan buruk.

Tidak perlu pasang aplikasi Antivirus pada Android

Penyelesaian yang disarankan oleh pengeluar perisian antivirus untuk memasang aplikasinya pada peranti pengguna bukanlah satu langkah yang bijak. Pemantauan yang dilakukan oleh aplikasi antivirus Android ini mengakibatkan pembaziran sumber peranti. Ini merangkumi pembaziran bateri yang disebabkan oleh penggunaan kuasa pemprosesan untuk aktiviti imbasan aplikasi secara manual, pemantauan aktiviti internet dan banyak lagi.

Pemasangan aplikasi antivirus sebenarnya tidak begitu diperlukan pada peranti-peranti Android memandangkan ianya memberi kesan terhadap prestasi dan tahap penggunaan tenaga bateri peranti secara keseluruhannya. Malah, ciri-ciri keselamatan yang disediakan oleh Android dan pada setiap kemaskininya, sudah mencukupi untuk melindungi peranti anda dari sebarang ancaman.

Paling selamat adalah sikap kita sendiri dalam mengendalikan peranti Android itu sendiri. Kalau dah install apps pun main sebat fail APK entah mana hala, peranti pun dah boleh root, kalau kena malware tu memang sendiri cari nahas la kan. Janganlah disebabkan kecuaian kita sendiri yang pandai-pandai sendiri tanpa mengkaji selidik asas sistem operasi berasaskan kernel Linux seperti Android ini, terus kita menganggap Android tidak selamat digunakan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.