Sebuah kumpulan cetak rompak yang dikenali sebagai Anna’s Archive mendakwa bahawa mereka telah berjaya memuat turun dan menyalin (scrape) keseluruhan perpustakaan muzik daripada platform penstriman popular, Spotify.
Kumpulan tersebut menyatakan bahawa data yang diperoleh merangkumi sejumlah besar metadata dan fail audio, dengan anggaran saiz fail mencecah hampir 300TB. Tindakan ini dilaporkan dilakukan atas dasar inisiatif pemeliharaan digital.
Menurut laporan, Anna’s Archive yang berfungsi sebagai enjin sumber terbuka untuk perpustakaan bayangan (shadow libraries), mendedahkan bahawa mereka menemui kaedah untuk menyalin data daripada Spotify secara berskala besar. Kumpulan tersebut merancang untuk menjadikan kesemua lagu yang disalin tersedia untuk dimuat turun oleh orang ramai. Asalkan dengan syarat pengguna mempunyai kapasiti storan yang mencukupi untuk menampung saiz fail yang besar itu.
Walau bagaimanapun, Spotify telah memberikan maklum balas tegas terhadap insiden ini. Syarikat penstriman tersebut menyatakan rasa tidak puas hati dan mengesahkan bahawa mereka telah mengambil tindakan segera
Menurut kenyataan rasmi daripada pihak Spotify, “Kami telah melaksanakan perlindungan baharu untuk jenis serangan anti-hak cipta ini dan sedang memantau secara aktif sebarang tingkah laku yang mencurigakan. Sejak hari pertama, kami berdiri bersama komuniti artis menentang cetak rompak, dan kami sedang bekerjasama secara aktif dengan rakan industri untuk melindungi pencipta dan mempertahankan hak mereka.”
Berikut adalah perincian data yang didakwa telah disalin oleh kumpulan tersebut:
- Jumlah Metadata: Sekitar 256 juta trek.
- Jumlah Lagu: 86 juta lagu.
- Anggaran Saiz Data: Kurang sedikit daripada 300TB.
- Tujuan: Mendakwa ia sebagai usaha mewujudkan “arkib pemeliharaan” untuk muzik.
Walaupun Anna’s Archive mendakwa telah memperoleh keseluruhan perpustakaan tersebut, ketepatan dakwaan ini mungkin boleh dipertikaikan. Hal ini kerana platform penstriman seperti Spotify sentiasa menambah lagu baharu setiap hari.
Pihak Spotify juga telah mengenal pasti dan mematikan akaun-akaun pengguna yang terlibat dalam aktiviti penyalinan data secara tidak sah tersebut. Ia dilakukan demi melindungi integriti platform mereka.











