Di dalam ushaa meningkatkan jumlah langganan YouTube Premium, Google sedia memberikan pelbagai tawaran menarik dari peranti percuma hinggalah ciri-ciri uniknya.
Terkini, Google sedang menguji pelan langganan YouTube Premium pada harga yang lebih rendah di beberapa negara di Eropah yang memberikan tontonan bebas iklan.
Pelan ini bagaimanapun tidak menyediakan fungsi memuat turun untuk tontonan secara offline, YouTube Music dan main semula di latar.
Kos langganan pelan ini adalah €6.99 (~RM 35.09) sebulan, lebih kurang sama seperti pelan untuk pelajar berbanding harga standard YouTube Premium di beberapa negara-negara Kesatuan Eropah iaitu €11.99 (~RM60). Sebagai perbandingan, langganan YouTube Premium di Malaysia pada harga RM 17.90 sebulan.
Penawaran pelan ini sedang diuji di Belgium, Denmark, Luxembourg, Norway dan Belanda mengikut harga di negara masing-masing. Berdasarkan laman YouTube Premium Lite menyatakan pelan ini menawarkan anda YouTube bebas iklan, dan YouTube Kids pada semua peranti.
Sejak mula dilancarkan dan beberapa kali dijenamakan semula, perkhidmatan sentiasa didatangkan bersama-sama YouTube Music. Penawaran pelan sebelum ini mungkin kurang menarik minat pengguna yang sedia melanggan Spotify atau Apple Music. Justeru, pelan Lite ini mungkin mampu menarik minat sebahagian pengguna yang inginkan tontonan tanpa gangguan.













