YouTube telah mengumumkan akan memperketat polisi sekatan umur terhadap lebih banyak kandungan klip permainan video yang memaparkan keganasan grafik. Polisi baharu ini akan berkuat kuasa mulai 17 November, menyasarkan subset kecil tambahan kandungan permainan video di platform tersebut.​

Menurut syarikat milik Google itu, tiga faktor utama akan diambil kira semasa memutuskan video mana yang akan dikenakan sekatan umur. Faktor paling penting ialah paparan watak manusia yang realistik, dengan penekanan khusus diberikan kepada keganasan dan penyeksaan terhadap individu bukan kombatan.​

Faktor kedua ialah keterlihatan (prominence), iaitu sama ada keganasan tersebut menjadi fokus utama permainan. Walaupun YouTube tidak memberikan contoh khusus, siri permainan seperti Mortal Kombat dan Sniper Elite dijangka terkesan.

Akhir sekali faktor tempoh (duration); video dengan adegan ganas yang hanya sekilas mungkin tidak akan disekat. Walau bagaimanapun, untuk video kompilasi, tempoh kumulatif adegan ganas akan diambil kira.​

Menurut jurucakap YouTube, Boot Bullwinkle, para pencipta kandungan boleh mengelakkan sekatan umur ini dengan cara mengaburkan atau menyembunyikan visual keganasan dalam video mereka.​

Selain itu, kandungan “kasino sosial” juga akan dikenakan sekatan umur. Kategori ini merangkumi permainan gaya kasino yang tidak melibatkan pertaruhan atau pengeluaran wang sebenar. Kandungan yang menggambarkan, mempromosikan, atau memudahkan laman kasino sosial akan dikenakan sekatan umur.​

Polisi yang diperketatkan ini akan memberi kesan kepada semua muat naik baharu serta video sedia ada di platform. Video sedia ada yang melanggar garis panduan baharu mungkin akan dialih keluar atau disekat umurnya, tetapi tidak akan menyebabkan pemilik saluran menerima strike jika video tersebut tidak pernah disekat sebelum ini.

Tinggalkan komentar