YouTube Premium menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik yang boleh dibayar oleh pengguna secara langganan bulanan. Kini, Google telah memperkenalkan pilihan langganan baharu selama 12 bulan untuk kemudahan penggunanya.

Menurut laporan dari 9to5Google, pelan baharu ini membolehkan pengguna membayar secara sekali gus pada harga $108 (~RM451) setahun.

Buat masa ini, YouTube Premium ditawarkan pada kadar RM17.90 sebulan. Dalam pada masa yang sama, pelan keluarga juga ditawarkan untuk perkongsian dengan akaun-akaun lain pada harga RM27.90.

Pelan tahunan ini bagaimanapun tidak didatangkan bersama-sama fungsi pembaharuan secara automatik. Justeru, sebaik sahaja pelan langganan tahunan anda tamat, segala ciri-ciri Premium akan turut tamat bersama.

Hanya pengguna-pengguna baharu sahaja ditawarkan dengan pelan langganan tahunan ini. Bagi pelanggan-pelanggan sedia ada yang ingin menukar ke langganan tahunan ini perlu terlebih dahulu menamatkan langganan sedia ada.

Pilihan langganan tahunan ini juga buat masa ini hanya ditawarkan di beberapa buah negara yang terpilih. Antaranya Kanada, Amerika Syarikat, Mexico, Rusia, Brazil, Turki, Jerman, Thailand, India dan Jepun.

Tinggalkan komentar