Xiaomi akhirnya akan menerbitkan MIUI 7 Global Stable Build pada 27 Oktober 2015 setelah menjalani pengujian dan pengoptimuman selama dua bulan. Pengguna-pengguna telefon pintar Xiaomi yang terpilih boleh mencuba perubahan terbaru yang diperkenalkan oleh syarikat pengeluar telefon pintar dari China ini.

Kemaskini ini boleh diperoleh secara over-the-air (OTA) dan pengguna boleh mengemaskini peranti masing-masing menggunakan aplikasi Updater. Bagi jenis yang tak reti nak sabar menantikan kemaskini melalui OTA, anda boleh memuat turun pakej ROM secara terus dari bahagian muat turun MIUI pada hari tarikh pelancaran.

Terdapat 7 jenis peranti Xiaomi yang layak untuk dikemaskini pada tarikh pelancaran kemaskini tersebut, ia termasuklah Mi 3, Mi 4, Mi Pad, Mi Note, Redmi 1S 3G, Redmi Note 4G, Redmi 2 dan Redmi 2 Prime. Bagi pengguna-pengguna Redmi Note 3G dan Mi 4i pula, anda perlu bersabar untuk menantikan kemaskini khusus untuk peranti berkenaan yang akan diumumkan kelak.

Antara ciri-ciri menarik yang dibawakan oleh Xiaomi terhadap kemaskini ini adalah antara muka pelbagai warna, galeri pengecaman wajah dan Showtime. Malah, ia juga dilengkapi dengan teknologi pemampatan oleh Opera Max yang dapat memberikan pengguna lebih penjimatan data. Selain itu, fungsi Child Mode memudahkan para ibu bapa mengasingkan aplikasi-aplikasi tertentu dari diakses oleh anak-anak ketika bermain-main dengan telefon pintar.

Sumber maklumat diperoleh dari MIUI

Tinggalkan komentar