Xiaomi mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tempoh sedekad ini bagi mengukuhkan jenamanya di pasaran global. Sama ada ia telefon pintar, tablet, phone telinga, kamera paparan pemuka dan juga alat penimbang berat badan, syarikat elektronik berpangkalan di Beijing kini merupakan nama yang tidak asing lagi di seluruh dunia.
Baru-baru ini Xiaomi telah menerbitkan laporan sukuan kewangan dan penguasaan pasaran bagi tempoh suku kedua 2022. Menariknya, penguasaan jenama tersebut kini berada di kedudukan kedua di pasaran Eropah, dan seterusnya memintas kedudukan Apple.
Berdasarkan laporan yang diterbitkan di ruangan beritanya, Xiaomi menjelaskan kedudukan Xiaomi di peringkat global kian mengukuh dengan penguasaan pasarannya juga semakin berkembang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada suku kedua 2022, Xiaomi menguasai 21.7% dari keseluruhan jumlah telefon pintar yang dipasarkan di Eropah dan menjadikannya nombor 2 di belakang Samsung.
Untuk pasaran global pula, Xiaomi berada di kedudukan ketiga teratas di 55 buah pasaran di seluruh dunia pada suku kedua 2022. Syarikat ini juga menduduki kedudukan 5 teratas di 67 pasaran telefon pintar global.
Xiaomi juga menyatakan telah merekodkan pertumbuhan sukuan penguasaan pasaran di Timur Tengah, Eropah, Amerika Latin, Asia Tenggara dan Afrika pada suku kedua 2022.
Dalam pada masa yang sama, Xiaomi juga sedang giat meningkatkan pelaburan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) bagi mengukuhkan kedudukannya selaku jenama premium di pasaran. Pelancaran Xiaomi 12S Ultra dan Xiaomi Mix Fold 2 yang dibangunkan dengan sentuhan jenama Leica untuk kameranya, Xiaomi kian yakin mampu merampas kedudukan teratas di dalam industri telefon pintar.













