Kewujudannya mungkin sudah diketahui oleh sebilangan pengguna sebelum ini dan kini, Xiaomi secara rasminya telah mempertontonkan Mi TV Stick. Apa yang menarik, pelancarannya tidak dibuat di China.
Mi TV Stick dipertontonkan julung kalinya ketika acara pelancaran dalam talian siri Xiaomi Redmi Note 9, Mi Note 10 Lite, dan Mi 10 Lite 5G di Jerman baru-baru ini.
Bagaimanapun, ianya hanya didedahkan tidak sampai seminit oleh pihak Xiaomi Jerman di dalam acara tersebut. Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai Mi TV Stick diberikan sepanajng acara tersebut berlangsung secara dalam talian.
Alat kawalan jauh untuk peranti berkenaan kelihatan mirip dengan Mi Box 4K di India. Ianya dijangkakan menyediakan sokongan untuk Google Assistant bersam-sama Netflix dan Amazon Prime Video sebagai perkhidmatan penstriman utama.
Maklumat awal mengenai Mi TV Stick ini mendakwa ianya mempunyai keupayaan yang sama dengan Mi Box S. Jika informasi ini benar-benar sahih, Mi TV Stick mungkin mampu menyokong tayangan kandungan 4K.
Sehingga itu, kita nantikan kenyataan rasmi dari Xiaomi berhubung Mi TV Stick ini yang dijangka akan dibuat tidak berapa lama lagi.













