Lanjutan dari pelancaran telefon Xiaomi Mi MIX 4, Xiaomi secara rasminya telah melancarkan siri Pad 5, tablet pertamanya dalam tempoh tiga tahun ini.
Siri ini menawarkan Mi Pad 5 versi standard yang menyokong sambungan Wi-Fi sahaja dan Mi Pad 5 Pro yang menyokong kedua-dua sambungan Wi-Fi dan LTE. Juga terdapat Mi Pad 5 Pro yang menyokong Wi-Fi dan juga sambungan 5G.
Versi Pro ini menggunakan cipset Snapdragon 870, manakala Pad 5 standard pula menggunakan Snapdragon 860, kedua-duanya merupakan cipset peringkat mercu.
Kedua-dua tablet ini hadir dengan paparan 11-inci beresolusi 2560 x 1600 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz. Panel paparan 10-bit ini juga menyokong Dolby Vision dan HDR10 yang menyediakan kecerahan sehingga 500 nits. Ia juga menggunakan teknologi TrueTone untuk paparan warna yang lebih memukau.
Ruangan kamera berbentuk pil pada Mi Pad 5 mengandungi sebuah kamera 13MP. Khusus untuk Mi Pad 5 Pro pula ia mengandungi dwi-kamera iaitu 13MP dan 5MP ultra-lebar. Manakala, model tertinggi di dalam siri ini iaitu Mi Pad 5 Pro 5G, menawarkan dwi-kamera iaitu 50MP (utama) dan ultra-lebar 5MP.
Kesemua model tablet Xiaomi terbaru ini menyokong pelapik berpapan kekunci dan pena stylus bermagnetik. Mirip dengan penawaran dari iPad Pro 11 dan Galaxy Tab S7.
Pena stylus Xiaomi ini hanya seberat 12.2 gram, serta mempunyai dua butang pada sisinya dan menawarkan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Ia mempunyai baterinya sendiri yang mampu bertahan sehingga 8 jam penggunaan untuk sekali cas.
Bagi pelapik berpapan kekunci bermagnet bagi tablet Xiaomi ini pula ia didatangkan dengan tiga pilihan warna yang bersesuaian dengan warna-warna yang ditawarkan oleh Mi Pad 5.
Kapasiti bateri Pad 5 Pro mempunyai kapasiti 8,600mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W. Manakala untuk model standard pula tablet Xiaomi ini didatangkaan dengna bateri berkapasiti 8,720mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 33W.
Antaramuka yang digunakan masih lagi Xiaomi MIIUI, namun disesuaikan untuk kegunaan tablet yang menyokong fungsi berbilang skrin untuk lebih dari 300 aplikasi apabila bergandingan dengan peranti Xiaomi lain. Xiaomi Mi Pad 5 Pro juga menyediakan empat pembesar suara dengan penalaan Dolby Atmos yang ditempatkan dua di atas, dan dua lagi di bawah.
Harga tablet Xiaomi Mi Pad 5
Xiaomi akan mula membuka pra-tempahan siri Mi Pad 5 di pasaran China dengan harga penawarannya seperti berikut:
- Xiaomi Mi Pad 5 Pro; RAM 6GB dan storan 128GB RMB 2,499 (~RM 1,629)
- Xiaomi Mi Pad 5 Pro; RAM 6GB dan storan 256GB RMB 2,799 (~RM 1,822)
- Xiaomi Mi Pad 5 Pro 5G; RAM 8GB dan storan 256GB RMB 3,499 (~RM 2,281)
- Xiaomi Mi Pad 5; RAM 6GB dan storan 128GB RMB 1,999 (~RM 1,303)
- Xiaomi Mi Pad 5; RAM 6GB dan storan 256GB RMB 2,299 (~RM 1,499)
Bagaimanapun, Xiaomi tidak mengumumkan mengenai bilakah tablet Xiaomi ini akan dilancarkan ke pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.













