Xiaomi Malaysia mengumumkan Mi 9T Pro secara rasminya memasuki ke pasaran Malaysia pada 30 Ogos ini. Sebagaimana yang diketahui, Mi 9T Pro merupakan model yang sama dengan Redmi K20 Pro yang dijenamakan untuk pasaran global.
Secara asasnya, perbezaan ketara antara Mi 9T Pro dengan versi asas Mi 9T adalah penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 855. Lain-lain ciri antara kedua-dua variasi ini adalah sama.
Kedua-dua variasi Mi 9T menawarkan kamera swafoto 20MP terpacul bermotor yang ditempatkan pada bahagian atasnya bersama-sama paparan HD+ Penuh AMOLED. Mi 9T Pro juga menawarkan tetapan tri-kamera yang mengandungi sebuah lensa utama 48MP bersama-sama dengan lensa bersudut ultra luas 13MP dan lensa telefoto 8MP.
Melengkapkan spesifikasi am Mi 9T Pro adalah bateri berkapasiti 4,000mAh dengan sokongan kadar pengecasan maksima 27W. Walaubagaimanapun, pengecas yang disediakan bersama-sama pembelian telefon pintar ini hanya sekadar mampu menyokong 18W sahaja.
Untuk harganya, varian Mi 9T Pro dengan RAM 6GB dan storan dalaman 64GB ditawarkan pada harga RM1,599. Manakala model dengan kapasiti storan 128GB ditawarkan pada harga RM1,799. Kedua-dua model boleh didapati menerusi kedai jualan fizikal Mi Store di seluruh negara dan juga kedai di dalam talian Mi Store melalui Lazada dan Shopee bermula 30 Ogos ini.













