Xiaomi akan melancarkan siri Xiaomi 13 di Malaysia pada minggu hadapan. Acara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya pada 27 Februari 2023, jam 2 petang.
Berdasarkan imej acah yang dikongsikan, dijangkakan Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro akan dilancarkan pada tarikh tersebut. Telefon pintar berkenaan akan menampilkan cipset baharu dari Qualcomm, Snapdragon 8 Gen 2.
Ia akan hadir dengan pilihan RAM LPDDR5X 8GB dan 12GB, serta pilihan storan UFS 4.0 128GB, 256GB dan 512GB. Model Pro ini mempunyai bateri berkapasiti 4820mAh dan pengecasan pantas 120W.
Xiaomi 13 Pro mempunyai skrin OLED LTPO 6.73-inci bersama-sama pelbagai ciri sokongan seperti HDR10+, Dolby Vision, HLG, pemalapan DC 1920Hz dan kecerahan sehingga 1900 nits. Sistem tri-kamera 50MP di belakangnya juga tidak kurang hebarnya dengan menggunakan teknologi Leica untuk tiga kameranya yang merangkumi utama, telefoto dan ultra-lebar.
Kamera utama untuk Xiaomi 13 pula hadir dengan 50MP. Namun, untuk kamera ultra-lebarnya ia menggunakan 12MP dan lensa telefoto pula 10MP.
Selain kamera yang lebih kecil pikselnya, saiz skrin telefon pintar ini juga lebih kecil dengan skrin OLED 6.36-inci 120Hz. Baterinya juga lebih kecil 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W, nirwayar 50W dan berbalik 10W.













