Xiaomi telah mengumumkan akan melancarkan secara rasminya siri Xiaomi 12S, versi telefon pintar Xiaomi 12 yang dinaiktaraf. Pelancaran akan dibuat pada 4 Julai ini jam 7 malam waktu tempatan dan boleh diikuti di laman sosial media rasmi Xiaomi dan juga laman web rasminya.

Melalui pengumuman tersebut, Xiaomi turut mengesahkan kehadiran siri tersebut yang menawarkan tiga model iaitu Xiaomi 12S, Xiaomi 12S Pro dan Xiaomi 12S Ultra. Sungguhpun sebelum ini ramai yang menjangkakan 12S akan dilancarkan bersama-sama 12 Ultra, namun pihak Xiaomi dilihat akan terus melancarkan 12S Ultra.

Gergasi teknologi dari China ini juga telah mengesahkan siri yang akan datang ini merupakan yang pertama menampilkan kamera berjenama Leica rentetan dari pengumuman kerjasama antara kedua-duanya pada bulan lepas.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang telah tertiris di internet sebelum ini, berkemungkinan besar bonggol untuk modul kamera bagi 12S Ultra akan hadir lebih besar berbanding model sebelumnya.

Cuma setakat ini belum dapat dipastikan sama ada adakah Xioami akan menawarkan paparan sekunder pada bahagian belakangnya seperti yang terdapat pada Xiaomi 11 Ultra. Setakat ini maklumat yang tertiris mendakwa cipset yang akan digunakan pada Xiaomi 12S Ultra mungkin Qualcomm Snapdragon 8 Plus Gen 1.

Berdasarkan iklan acah yang dikongsikan, kelihatan 12S Ultra akan menampilkan kemasan kulit berwarna hijau dengan bingkai emas. Sebelum ini terdapat maklumat tertiris yang menunjukkan ia mungkin akan hadir dengan kemasan kulit berwarna hitam dengan pilihan seramik putih.

Untuk model asas Xiaomi 12S dan 12S Pro yang lebih tinggi, kedua-duanya juga dikatakan akan menggunakan pemprosesan Qualcomm yang terkini tersebut. Pun begitu, model Pro dikatakan akan menawarkan varian alternatif yang menggunakan MediaTek Dimensity 9000. Untuk memori dan storan pula, kedua-dua telefon dijangka akan menawarkan pilihan sehingga RAM 12GB dan storan sehingga 512GB.

Tinggalkan komentar