Selepas hampir tiga bulan dilancarkan di China, Xiaomi 12 kini menemui pengguna antarabangsanya. Malaysia merupakan antara pasaran terawal yang menerima telefon pintar ini dengan pra-tempahannya telah mula dibuka dari sekarang.

Di Malaysia, Xiaomi membawakan dua buah model termasuk Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro. Agak sukar untuk membezakan kedua-duanya kerana mempunyai rekaan yang sama dan juga menggunakan pemprosesan yang sama Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1.

Apa yang membezakan antara keduanya ini adalah pada saiz skrinnya. Model Pro dilengkapkan dengan paparan AMOLED WQHD+ 6.73-inci, manakala model standard pula menawarkan paparan AMOLED FHD+ 6.28-inci. Kedua-dua panel ini mempunyai kadar yang sama untuk penyegaran semula iaitu 120Hz dan pensampelan sentuhan pada 480Hz. Ia juga menyokong Dolby Vision dan HDR 10+.

Kamera siri Xiaomi 12

Seperkara lagi yang membezakan kedua-duanya adalah perkakasan kameranya. Xiaomi 12 Pro menyediakan sensor kamera Sony IMX707 50MP f/1.9, bergandingan dengan sensor Samsung ISOCELL JN1 bagi kamera ultra lebar 50MP f/2.2 dan telefoto 50MP f/1.9.

Untuk model standard pula, telefon ini menyediakan sensor kamera Sony IMX766 50MP f/1.88 untuk kamera utamanya. Disamping turut menyediakan kamera ultra-lebar 13MP f/12.4 dan kamera telefoto 5MP. Kamera hadapan bagi kedua-dua model ini hadir dalam bentuk kamera 32MP f/2.45.

Seperti yang dijangkakan, model Pro mempunyai bateri yang lebih besar iaitu pada 4,600mAh dengan model standard pula hadir dengan kapasiti yang sedikit kecil, 4,500mAh. Pun begitu, kelajuan mengecasnya agak berbeza kerana Xiaomi 12 Pro menyokong Hypercharge 120W, manakala model standard pula hanya setakat 67W sahaja.

Keupayaan pengecasan dan pengecasan berbalik secara niwayar bagi kedua-dua model ini menawarkan kuasa masing-masing pada 50W dan 10W.

Tidak ketinggalan, siri Xiaomi 12 ini menyertakan penalaan audio khusus dari Harman Kardon dan juga sokongan Dolby Atmos. Sungguhpun model Pro menawarkan sehingga empat pembesar suara, model Pro hanya menawarkan dua pembesar suara.

Xiaomi 12 Pro hadir dengan kapasiti RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM3,899. Manakala Xiaomi 12 dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB berharga RM2,999. Anda yang membuat pra-tempahan varian Xiaomi 12 ini akan menerima Xiaomi Soundbar 3.1ch, 1-tahun waranti tambahan, dan enam bulan perlindungan penggantian skrin.

Bagi Xiaomi 12 dengan storan dalaman 128GB pula, harga yang jualannya adalah RM2,899. Anda yang melakukan pra-tempahan pada melalui Shopee dan Lazada berpeluang menikmati harga diskaun pada RM2,799 melalui sesi jualan kilat yang berlangsung pada malam ini.

Pra-tempahan Xiaomi 12 boleh dibuat menerusi pautan berikut: https://xiaomi12series-preorder.3ex.com.my/

Tinggalkan komentar