Satu kemas kini terbaharu untuk sistem operasi Windows 11 yang dikeluarkan oleh Microsoft pada Oktober 2025 telah menyebabkan masalah kritikal kepada pembangun aplikasi di seluruh dunia.
Kemas kini kumulatif dengan kod nama KB5066835 didapati melumpuhkan fungsi localhost, iaitu keupayaan komputer untuk berkomunikasi dengan dirinya sendiri bagi tujuan pembangunan dan ujian aplikasi web.
Masalah ini mula dilaporkan secara meluas di forum sokongan Microsoft sendiri sebelum merebak ke platform komuniti pembangun seperti Stack Overflow dan Server Fault. Para pembangun melaporkan bahawa selepas memasang kemas kini tersebut, mereka tidak lagi dapat mengakses aplikasi web yang dijalankan pada mesin tempatan mereka. Isu ini dikesan berpunca daripada pepijat dalam komponen kernel Windows yang dikenali sebagai HTTP.sys, yang bertanggungjawab menguruskan trafik HTTP tempatan.
Ralat sambungan Protokol HTTP/2
Menurut laporan, pepijat yang diperkenalkan dalam binaan (build) 26100.6899 itu menyebabkan ralat protokol HTTP/2 dan kegagalan sambungan. Ia menjejaskan pelbagai persekitaran pembangunan, termasuk sesi penyahpepijatan (debugging) dalam Visual Studio dan projek berasaskan ASP.NET.
Sebagai jalan penyelesaian, kebanyakan pembangun terpaksa mengambil langkah drastik dengan menyahpasang (uninstall) pek kemas kini KB5066835. Ada juga untuk sesetengah kes melibatkan pek berkaitan KB5065789, untuk memulihkan semula fungsi localhost.
Terdapat juga penyelesaian sementara yang melibatkan pengubahsuaian registry Windows secara manual untuk mematikan fungsi HTTP/2. Bagaimanapun kaedah ini dianggap rumit dan tidak praktikal.
Isu ini timbul pada waktu yang genting bagi Microsoft, serentak dengan penamatan sokongan rasmi untuk sistem operasi Windows 10. Microsoft sedang giat mengajak pengguna untuk beralih kepada Windows 11. Namun insiden seperti ini menjejaskan keyakinan pengguna terhadap kestabilan ekosistemnya.
Sehingga kini, pihak Microsoft dilaporkan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengakui masalah tersebut. Sementara itu, forum-forum dalam talian dipenuhi dengan perbincangan dan keluhan daripada para pembangun yang cuba memulihkan persekitaran kerja masing-masing.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai proses kawalan kualiti Microsoft. Tambahan pula ia melibatkan kemas kini yang memberi kesan langsung kepada komuniti pembangun yang menjadi tulang belakang kepada ekosistem perisiannya.
Insiden ini, ditambah dengan masalah pada Media Creation Tool Windows 11, menonjolkan kerapuhan ekosistem Microsoft di sebalik usaha besar syarikat itu untuk mempromosikan sistem operasi baharunya.













