Microsoft kini mewajibkan pengguna Windows 11 untuk mempunyai sambungan internet dan Akaun Microsoft semasa proses pemasangan sistem operasi. Langkah ini menghapuskan pilihan akaun tempatan (local account) yang sebelum ini boleh dibuat secara luar talian. Sekali gus mengubah cara pengguna memasang Windows 11 pada komputer baharu.

Perubahan ini memberi kesan terhadap kedua-dua edisi Windows 11 Home dan Pro. Sambungan internet dan Akaun Microsoft kini menjadi keperluan wajib semasa persediaan awal peranti (Out-of-Box Experience atau OOBE).

Sebelum ini, pengguna berpengalaman boleh memasang Windows 11 dengan akaun tempatan menggunakan beberapa kaedah pintasan. Microsoft bagaimanapun dilaporkan telah menyekat jalan keluar tersebut dalam versi terkini sistem operasi.

Keperluan baharu ini dilihat sebagai strategi Microsoft untuk mengintegrasikan perkhidmatan awan seperti OneDrive dan Microsoft 365 dengan lebih rapat. Selain itu, ia juga bagi menyelaraskan tetapan pengguna merentas pelbagai peranti.

Namun langkah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang mementingkan privasi dan kawalan penuh terhadap peranti mereka.

Menurut spesifikasi sistem rasmi yang dikeluarkan Microsoft, sambungan internet dan Microsoft Account adalah mandatori untuk melengkapkan persediaan Windows 11. Syarikat teknologi gergasi itu juga dilaporkan telah berkali-kali menyekat kaedah pintasan yang digunakan pengguna untuk memintas keperluan akaun dalam talian.

Pun begitu, komuniti teknikal telah menemui cara alternatif baharu untuk pengguna mahir yang masih mahu memasang Windows 11 dengan akaun tempatan.

Kaedah ini melibatkan penggunaan arahan khas semasa proses pemasangan, termasuk arahan start ms-cxh:localonly yang boleh diakses melalui Command Prompt. Namun, tidak dapat dipastikan berapa lama kaedah ini akan terus berfungsi sebelum ia turut disekat oleh Microsoft.

Perkembangan terkini dari Microsoft ini menandakan peralihan kepada ekosistem perkomputeran yang lebih bersambung dan berpusat pada awanan.

Walaupun pilihan pemasangan offline secara rasmi tidak lagi tersedia, kewujudan kaedah alternatif memberi ruang kepada pengguna mahir untuk mengkonfigurasi peranti mengikut pilihan mereka. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

Tinggalkan komentar