Windows 10 menawarkan pelbagai kekunci pintas yang bertujuan memudahkan penggunanya dan salah satu yang paling bermanfaat adalah Alt+Tab. Kekunci membantu pengguna bertukar-tukar antara tetingkap aplikasi yang sedang dibuka dengan lebih pantas.

Bagaimanapun, kekunci pintas Alt+Tab ini dilaporkan tidak dapat berfungsi pada sesetengah pengguna. Masalah ini dikatakan berpunca selepas pengguna memuat turun kemaskini kumulatif Ogos, KB5004296.

Menurut laman Windows Latest, kemaskini ini telah sedia untuk dimuat turun ke sistem operasi pengguna pada Selasa baru-baru ini. Kemaskini ini dikeluarkan bagi tujuan pembaikan ralat dan juga penampalan keselamatan. Cuma, untuk kali ini ia dilaporkan telah memberikan kesan sampingan kepada sebahagian pengguna yang menyebabkan kekunci pintas Alt+Tab tidak dapat digunakan.

Melalui laman forum Reddit, terdapat pengguna yang melaporkan tidak dapat bertukar-tukar antara tetingkap aplikasi melalui kekunci Alt+Tab seperti kebiasaan selepas kemaskini tersebut dibuat.

Pun begitu, pengguna di Microsoft Feedback Hub telah berkongsikan jalan penyelesaian kepada masalah ini iaitu dengan cara menyahpasang kemaskini KB5004296.

Mujurlah masalah ini tidak memberi kesan kepada seluruh pengguna dan ia hanya melibatkan sesetengah pengguna sahaja. Laporan lanjut mengenai masalah ini juga mendapati ia mempunyai kaitan dengan widget News and Interest.

Cara membaiki masalah Alt+Tab tidak berfungsi Windows 10

Anda yang terkesan dengan masalah ini boleh membaikinya dengan melumpuhkan widget News and Interest berkenaan yang terletak di bahagian taskbar. Caranya adaalah dengan klik kanan pada taskbar yang menempatkan bahagian News and Interest. Kemudian pilih ‘Turn off’. Atau anda boleh juga merujuk pada artikel ini bacaan lanjut mengenai cara mematikan widget News and Interest ini.

Masalah Alt+Tab berkenaan sepatutnya sudah kembali pulih selepas langkah tersebut selesai dilakukan. Jika anda merasa was-was, anda boleh juga melakukan restart pada PC anda.

Cara lain adalah dengan menyahpasang kemaskini kumulatif Windows 10 KB5004296 untuk memulihkan fungsi Alt+Tab. Anda boleh melakukannya dengan pergi ke Settings > Update & Security, kemudian klik pada View update history. Seterusnya pergi ke Uninstall Updates, dan pilih kemaskini yang bermasalah tersebut dan klik Uninstall.

Cuma, cara ini akan mendedahkan anda kepada ancaman keselamatan dan juga pembaikan yang telah disediakan oleh kemaskini terbabit.

Tinggalkan komentar