Yayasan Wikimedia, organisasi di sebalik Wikipedia, pada hari Isnin menggesa para pembangun kecerdasan buatan (AI) untuk menggunakan kandungan ensiklopedia dalam talian itu secara bertanggungjawab.
Gesaan ini dibuat bagi memastikan kelestarian platform tersebut di tengah-tengah perkembangan pesat teknologi AI. Antara yang disaraknakn, penggunaan produk berbayar Wikimedia Enterprise dan memberikan atribusi yang sewajarnya kepada penyumbang kandungan.
Dalam satu hantaran blog, Yayasan Wikimedia menggariskan pelan untuk memastikan laman webnya terus disokong dalam era AI. Organisasi itu menyeru syarikat AI untuk mengakses kandungannya melalui platform Wikimedia Enterprise.
Platform berbayar ini membolehkan syarikat menggunakan kandungan Wikipedia pada skala besar tanpa membebankan pelayan (server) secara berlebihan. Di samping itu juga, ia dapat menyokong misi tidak berasaskan keuntungan organisasi tersebut.
Langkah ini diambil selepas Wikipedia mengesan aktiviti ‘scraping’ (proses mengekstrak data secara automatik) oleh bot AI yang cuba mengelak daripada dikesan.
Selepas mengemas kini sistem pengesanan bot, didapati lonjakan trafik pada bulan Mei dan Jun berpunca daripada bot AI. Manakala lawatan halaman oleh pengguna manusia menurun sebanyak 8% berbanding tahun sebelumnya.
Wikimedia menegaskan kepentingan atribusi bagi menghargai sumbangan para sukarelawan. “Bagi membolehkan orang ramai mempercayai maklumat yang dikongsi di internet, platform harus menjelaskan dari mana sumber maklumat tersebut dan memberi peluang untuk melawat serta mengambil bahagian dalam sumber-sumber tersebut,” menurut hantaran blog itu.
Yayasan berkenaan juga bimbang bahawa penurunan lawatan ke Wikipedia akan menyebabkan pengurangan jumlah sukarelawan. Kehadiran sukarelawan amat diperlukan bagi memperkaya kandungan. Manakala penderma-penderma individu pula diperlukan bagi menyokong kerja-kerja mereka.
Walaupun tiada ancaman tindakan undang-undang dinyatakan, garis panduan ini bertujuan untuk memastikan pembangun AI memberikan penghargaan kepada penyumbang manusia yang kandungan mereka digunakan untuk menjana output AI. Awal tahun ini, Wikipedia telah mengeluarkan strategi AI dalamannya yang memfokuskan penggunaan teknologi itu untuk membantu editor dengan tugas seperti terjemahan automatik, bukan untuk menggantikan mereka.













