Selain dari membangunkan kaedah baharu memindahkan sejarah chat pengguna dari Android ke iOS, WhatsApp juga dilaporkan sedang membawakan pengesahan dua-langkah (two-step verification) untuk pengguna desktop.
Menurut WABetaInfo, fungsi ini akan hadir ke kedua-dua pengguna desktop dan juga web. Sebaik sahaja fungsi ini diaktifkan, pengguna perlu memasukkan PIN enam digit setiap kali anda melog masuk ke peranti mudah alih. Ia merupakan penambahan kepada kod enam digit untuk pendaftaran yang diterima melalui SMS.
Pengguna desktop kelak boleh menghidup atau mematikan ciri keselamatan berkenaan. Selain itu, pengguna juga boleh menukarkan PIN dan juga menukar alamat emel untuk melakukan reset PIN.
Kaedah ini bukan sekadar meningkatkan tahap keselamatan untuk akaun WhatsApp pengguna pada desktop, malah memudahkan pengguna memulihkan akaun jika terlupa PIN atau tidak memasukkan emel untuk pemulihan.
Ciri ini masih lagi diperingkat pembangunan. Namun WABetaInfo menjangkakan ia akan disertakan ke dalam kemaskini yang akan datang.
WhatsApp sedang ke arah mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap telefon pintar sebagai peranti utama penggunaan WhatsApp. Selain pengenalan ciri pengesahan dua-langkah ini, platform permesejan popular ini juga sedang giat menyediakan ciri sokongan berbilang peranti.













