WhatsApp dilihat sedang membangunkan ciri penterjemahan dalam peranti sebagai usaha beralih dari penggunaan teknologi pihak ketiga seperti Google. Baru-baru ini, platform permesejan popular berkenaan juga telah memutuskan untuk tidak meneruskan penggunaan ciri Google Live Translate.
Kini, mereka sedang membangunkan alatan penterjemahannya sendiri yang mungkin akan meminta pengguna memuat turun pakej tambahan sebaik sahaja ia dihidupkan. Ia perlu dilakukan kerana proses terjemahannya akan dilakukan di dalam peranti dan tidak akan dihantar ke storan awanan.
Sebelum ini WhatsApp dilaporkan merancang untuk mengintegrasikan ciri Google Live Translate. Namun, berdasarkan perkembangan terkini penggunaan perkhidmatan tersebut tidak akan diteruskan.
Menurut WABetaInfo, penterjemahan di dalam peranti oleh WhatsApp ini masih lagi di peringkat beta. Bagaimanapun, pihak platform terbabit sedang membangunkan perisian untuk menyokong bahasa-bahasa tertentu termasuk Inggeris, Sepanyol, Arab, Portugis, Hindi dan Russia.
Apabila dihidupkan, ciri ini akan menterjemahkan secara automatik kesemua teks-teks terus di dalam chat. Ia seterusnya mengurangkan keperluan untuk pengguna menyalin dan menampalkan teks ke aplikasi lain untuk terjemahan bahasa asing.
WABetaInfo juga berkongsikan bagaimana kaedah terjemahanan yang sedang dibangunkan tersebut dilakukan. Pengguna boleh memilih bahasa yang ingin diterjemahkan dan akan meminta muat turun pek bahasa berkenaan jika diperlukan.
Sebaik sahaja diterjemahkan, satu label akan terpacul untuk membantu pengguna membezakan antara mesej asal dengan mesej yang telah diterjemahkan. Ia dijangka dapat memudahkan komunikasi yang lebih jelas walau dalam kepelbagaian bahasa.













