Panggilan spam sering mengganggu pengguna dan kebiasaannya akan disekat atau dimatikan panggilannya oleh sesetengah pengguna. Isu ini juga mula menular ke platform lain seperti WhatsApp hingga membuatkan syarikat induknya, Meta mengumumkan sokongan menyekat panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Ciri yang dinamakan sebagai Silence Unknown Callers ini telah diumumkan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg menerusi Facebook.

Pengguna boleh mengaktifkan ciri ini menerusi menu privasi di dalam aplikasi WhatsApp. Apabila dihidupkan, pemanggil yang tidak dikenali masih lagi boleh membuat panggilan kepada pengguna. Namun, panggilan tersebut tidak akan berdering dan hanya disenaraikan di dalam panggilan masuk sahaja.

WhatsApp telah mula membangunkan ciri ini sejak Mac tahun ini sebelum memperkenalkannya secara rasmi kepada pengguna umum.

Ia bertujuan mencegah pengguna dari menerima panggilan dari scammer. Tetapi dalam pada masa yang sama masih lagi membenarkan pengguna melihat sama ada nombor tersebut dari kenalan yang anda masih belum simpan namanya di dalam telefon anda.

Meta turut memperkenalkan Privacy Checkup bagi memberikan kesedaran kepada pengguna berkenaan ciri sedia ada di dalam platform tersebut. Cara langkah-demi-langkah juga ditunjukkan bagi membantu pengguna mengenai tahap perlindungan yang bersesuaian dengan pengalaman kepenggunaan masing-masing.

Ciri-ciri yang dinyatakan di atas telah pun tersedia untuk pengguna Android dan juga iOS.

Tinggalkan komentar