Versi akan datang WhatsApp akan memberikan anda lebih kawalan terhadap tahap pemampatan fail imej dan video yang ingin dihantar. WABetaInfo melaporkan dua fungsi ini sedang di peringkat pembangunan untuk versi Android.
Tiga pilihan pemampatan akan disediakan untuk pengguna iaitu “Auto,” “Best quality,” atau “Data saver.” Jika fungsi ini akan diperkenalkan kelak, anda boleh memilih untuk menjimatkan penggunaan data, atau mementingkan kualiti imej.
- Auto (recommended): WhatsApp akan mengesan algoritma apakah yang terbaik untuk imej atau video berkenaan
- Best quality: WhatsApp akan sentiasa menghantar fail video atau imej dalam bentuk kualiti yang terbaik.
- Data saver: Apabila Data saver diaktifkan di dalam tetapan Android, WhatsApp akan memampatkan fail imej atau video berkenaan sebelum dihantar.
Tiada maklumat mengenai tarikh rasmi pelancaran kemaskini baharu yang melibatkan pengenalan fungsi ini, serta maklumat bagi WhatsApp versi iOS. Berdasarkan kelaziman sebelum ini, pembangunan untuk versi iOS biasanya hampir seiring dengan versi Android.
Tetapan kualiti imej dan video ini merupakan sebahagian dari fungsi-fungsi yang sedang berada di peringkat pembangunan. Ciri baharu lain yang paling dinanti-nantikan oleh pengguna adalah sokongan berbilang-peranti yang membenarkan pengguna menggunakan WhatsApp pada mana-mana peranti.
Ciri ini sudah pun mula dibangunkan sejak dari tahun lalu dan ia telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Facebook, Mark Zuckerberg.













