WhatsApp pada tahun lepas telah memperkenalkan pelbagai fungsi terbaru yang bertujuan mengehadkan perkongsian melampau mesej pada platform berkenaan. Salah satunya adalah mengehadkan jumlah bilangan kenalan yang anda boleh memajukan (forward) sesebuah mesej kepada lima orang sahaja.
Tahun ini, aplikasi permesejan popular ini telah memperkenalkan perubahan baru dengan menghadkan pemajuan mesej kepada seorang kenalan sahaja.
Langkah ini dilaksanakan berikutan pertambahan bilangan mesej yang dimajukan sejak akhir-akhir ini. Dalam satu kenyataannya, WhatsApp menyatakan sebahagian penggunanya merasa terganggu dengan bilangan mesej dimajukan yang diterima.
Pertambahan bilangan mesej yang dimajukan juga turut membawa kepada penyebaran berita palsu yang tidak terkawal. Mengehadkan bilangan mesej yang boleh dimajukan ini setidaknya mampu menjadikan mesej-mesej yang dihantar oleh pengguna lebih bersifat personal.
Sebelum ini WhatsApp menyatakan langkah mengehadkan bilangan mesej yang boleh dimajukan kepada lima orang kenalan tidak berapa lama dulu telah menyebabkan bilangan mesej yang dimajukan merosot sebanyak 25 peratus. Dijangkakan, had terbaru yang diperkenalkan hanya kepada seorang kenalan ini mampu mengurangkan bilangan mesej yang dimajukan.
Apa yang boleh kita lakukan selaku pengguna yang bertanggungjawab adalah menyemak dulu kesahihan sesebuah berita yang diterima sebelum menyebarkannya ke ‘group-group sebelah’ WhatsApp.













