Utama Mobile Aplikasi WhatsApp akan benarkan anda keluar dari Group secara senyap-senyap tidak lama lagi

WhatsApp akan benarkan anda keluar dari Group secara senyap-senyap tidak lama lagi

611
0

WhatsApp dilihat sedang mengusahakan fungsi baharu yang dinanti-nantikan oleh sebahagian pengguna yang terlalu banyak dijemput memasuki kumpulan (group) borak WhatsApp. WABetaInfo melaporkan beta terkini aplikasi berkenaan untuk desktop telah menambah fungsi untuk keluar dari kumpulan secara senyap-senyap.

Fungsi berkenaan telah pun diacah oleh WhatsApp sejak dari bulan lepas dan buat masa ini, apabila anda ingin keluar dari sesebuah kumpulan borak WhatsApp, setiap ahli kumpulan berkenaan akan dimaklumkan.

Melalui kemaskini tersebut, apabila seseorang keluar meninggalkan kumpulan WhatsApp terbabit, hanya pentadbir kumpulan sahaja yang menerima notifikasi. Seterusnya, memudahkan pengguna untuk keluar dari kumpulan WhatsApp tanpa menimbulkan sebarang spekulasi makcik/pakcik bawang lain di dalam group.

Walaupun fungsi ini diketemukan menerusi beta desktop, WABetaInfo mendakwa ia akan hadir ke pengguna beta pada iOS dan Android kelak. Satu lagi fungsi di dalam kemaskini berkenaan yang diketemukan oleh WABetaInfo adalah fungsi yang membolehkan pengguna melihat ahli-ahli yang pernah menyertai sesebuah kumpulan WhatsApp berkenaan walaupun telah meninggalkannya.

Ciri “past participants” ini dilaporkan boleh diakses oleh sesiapa sahaja ahli di dalam kumpulan berkenaan. Walaubagaimanapun, ciri ini tidak dapat dipastikan bagaimana ia akan diperkenalkan kelak kepada umum selepas pengujiannya tamat.

Kumpulan borak di dalam WhatsApp telah menerima kemaskini besar dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Antaranya perkongsian fail sehingga 2GB, panggilan audio sehingga 32 orang, reaksi emoji, dan fungsi membolehkan admin memadam mesej-mesej tertentu di dalam kumpulan. Selain itu, Communities turut diperkenalkan bagi membolehkan beberapa kumpulan dengan minat yang sama digabungkan di dalam satu khemah besar.

Tinggalkan komentar