Pembangunan sokongan berbilang-peranti WhatsApp kini dilihat berjalan dengan amat baik. Menurut WABetaInfo, WhatsApp akan memperluaskan sokongan berkenaan untuk iPad dan tablet Android.
Sehingga kini, WhatsApp hanya membenarkan komputer seperti PC dan Mac sahaja untuk disambungkan dengan akaun WhatsApp pada telefon. Melaluinya, pengguna boleh mengakses ke sembang masing-masing pada pelayar web, aplikasi desktop dan Facebook Portal melalui kod QR.
Sungguhpun perincian mengenai kaedah penyambungan untuk iPad dan tablet Android ini tidak didedahkan, pihak WABetaInfo berpendapat cara yang digunakan mungkin sama seperti digunakan melalui web atau Facebook Portal. WhatsApp juga dijangka akan mewujudkan sebuah aplikasi khusus untuk penyambungan pada tablet.
iPad dan Android sememangnya boleh menggunakan aplikasi mudah alih utama WhatsApp, tetapi ia masih terhad pada satu peranti berkenaan sahaja.
Sokongan tablet ini juga memudahkan penjejakan log masuk terkini oleh pengguna. WhatsApp juga sedang menambahbaikan sistem pengesahan pengguna untuk fungsi berbilang peranti seperti pengesahan biometrik dan sebagainya.
• Is WhatsApp for iPad a web app? No, it’s a native app!
• Will WhatsApp for iPad work independently? Yes.
• Is WhatsApp for iPad already available? No.
• WhatsApp beta for iPad? If you have WhatsApp beta for iOS, you will automatically have the iPad version in the future. https://t.co/aQYBBtW7Sb— WABetaInfo (@WABetaInfo) August 21, 2021
Rancangan untuk membawakan fungsi ini juga kelak akan memudahkan pengguna menyambung kembali sembang di WhatsApp pada peranti laun yang dihubungkan tanpa memerlukan telefon masing-masing bersambung dengan internet.
Bagaimanapun, tiada kata putus mengenai sama ada WhatsApp akan membenarkan pengguna untuk menghubungkan sejumlah telefon ke satu akaun. Melihat kepada perkembangan terkini, dijangka fungsi ini mungkin akan diperkenalkan kelak.
Kesemua fungsi berbilang peranti ini buat masa ini hanya boleh didapati di dalam WhatsApp versi beta. Juga, tidak diketahui bilakah fungsi ini akan diperkenalkan kepada pengguna biasa.