Vivo Malaysia mengumumkan pelancaran telefon pintar terbaharunya, Vivo V60 Lite 5G, yang dijadualkan pada 9 Oktober 2025 jam 3 petang. Telefon pintar ini menampilkan rekaan baharu yang serupa dengan model V60, disamping menawarkan naik taraf pada sistem kamera dan pemprosesan.

Pra-tempahan dan Promosi

Pra-tempahan kini telah dibuka kepada pengguna, walaupun harga rasmi masih belum diumumkan. Pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM1,199.

Pakej promosi ini merangkumi jaminan lanjutan 1+1 tahun, perlindungan keretakan skrin selama setahun, perlindungan penutup belakang setahun, serta jaminan pelbagai rantau. Pembeli juga akan menerima set hadiah eksklusif termasuk kipas mudah alih, payung, beg kalis air dan kantung telefon kalis air, bersama fon telinga Vivo Buds.

Pembeli turut ditawarkan potongan harga RM200 untuk varian 12GB + 256GB dan RM300 untuk varian 12GB + 512GB. Turut disediakan promosi Beli Sekarang, Bayar Kemudian melalui SPayLater dan PayLater by Grab yang sah sehingga 30 November 2025, dengan potongan sehingga RM100 dan pelan ansuran sehingga 24 bulan tertakluk pada terma dan syarat.

SpayLater

  • Potongan 10% (dihadkan pada RM100) dengan pembelian minimum RM500
  • Ansuran sehingga 24 bulan
  • Yuran bulanan 1.5% dikenakan untuk pelan lebih dari 3 bulan (dikira berdasarkan jumlah amaun tempahan)

PayLater by Grab

  • Potongan sehingga RM100 dengan perbelanjaan minimum RM1,000
  • Pelan ansuran 0% untuk sehingga 4 bulan, menggunakan kod promo “VIVOPL100”
  • Yuran bulanan 1.5% dikenakan untuk pelan ansuran 8 atau 12 bulan.
  • Ditawarkan hanya di Vivo Concept Store terpilih sahaja

Dari segi spesifikasi, Vivo V60 Lite 5G dikuasakan cip pemprosesan Dimensity 7360-Turbo, satu peningkatan berbanding cip Dimensity 6300 yang digunakan pada model V50 Lite 5G terdahulu. Telefon pintar ini dilengkapi paparan AMOLED bersaiz 6.77 inci dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 120Hz, dan pensijilan HDR10+. Nisbah skrin kepada badan mencecah 94.2 peratus.

Sistem kameranya mengekalkan konfigurasi dwi-kamera di belakang dengan sensor utama 50 MP Sony IMX88 bersaiz 1/1.95 inci. Ia dipadankan dengan lensa ultra-lebar 8MP bersudut 120 darjah.

Ciri lampu denyar AI Aura Light yang menjadi identiti Vivo turut dikekalkan. Kamera hadapan pula hadir dengan resolusi 32 MP menggunakan sensor 1/3.1 inci. Satu penambahbaikan ketara ialah sokongan rakaman video 4K pada kedua-dua kamera hadapan dan belakang, berbanding sehingga Full HD sahaja pada model sebelumnya.

Bateri berkapasiti 6,500mAh Bluevolt dengan sokongan pengecasan pantas 90W FlashCharge kekal sama seperti pendahulunya. Dari segi ketahanan, V60 Lite 5G telah melepasi pensijilan Gred Tentera dan Rintangan Jatuh Lima Bintang SGS, serta dijangka membawa penarafan kalis habuk dan air IP65. Vivo mendakwa telefon pintar ini mampu bertahan sehingga 12 jam dalam hujan lebat berterusan.

Telefon pintar yang dilengkapi dwi-pembesar suara stereo ini juga didakwa mampu menghasilkan peningkatan volum sebanyak 400 peratus. Vivo V60 Lite 5G akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Biru, Hitam, dan Pop Pink.

Anda yang berminat boleh membuat pra-tempahan melalui saluran rasmi Vivo Malaysia bagi memanfaatkan tawaran promosi yang disediakan. Maklumat lanjut mengenai harga rasmi dijangka akan diumumkan sempena majlis pelancaran pada 9 Oktober ini.

Tinggalkan komentar