vivo secara rasminya telah melancarkan tablet mercu baharunya, Pad 5. Ia merupakan model standard dalam siri ini bersama-sama model Pro yang diperkenalkan pada bulan lalu.

Kebanyakan cirinya hampir sama dengan Pad 3, kecuali pada skrinnya yang lebih cerah, nisbah aspek baharu, dan cipset baharu MediaTek Dimensity 9300 Plus berbanding Qualcomm sebelum ini.

vivo Pad 5 menampilkan paparan LCD 12.1-inci 2.8K 16:10 dengan kadar penyegaran semula 144Hz dan kecerahan puncak 900 nits. Di dalamnya, ia menggunakan MediaTek Dimensity 9300 Plus dengan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, dan NFC. Untuk penyejukannya, tablet ini menggunakan sistem pelesapan haba 3D superkonduksi 34200mm² bagi mengekalkan suhunya pada paras optimum.

Dari segi pengimejannya pula, tablet ini mempunyai sistem kamera yang smaa iaitu kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 5MP. Kapasiti baterinya masih lagi sama pada 10,000mAh dengan pengecasan 44W. Tablet ini juga menggunakan antaramuka OriginOS 5 berasaskan Android 15.

vivo Pad 5 dijual pada harga bermula dari CNY2,399 (~RM1,412) untuk konfigurasi paling asas. Setakat ini tablet ini hanya dijual di pasaran China dan tiada pengumuman ketersediaannya untuk pasaran global termasuk pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar