Pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia telah menzahirkan rasa curiga terhadap laporan mengenai kemungkinan mutasi baharu COVID-19. Varian yang dikatakan berasal dari gabungan varian delta dan omicron yang membawa kepada ‘deltacron’ ini mungkin disebabkan oleh ralat ketika memproses hasil uji kaji di dalam makmal.
Strain coronavirus yang dikatakan gabungan antara varian ini telah dilaporkan Bloomberg diketemukan oleh seorang penyelidik di Cyprus.
CNBC melaporkan Profesor Leondios Kostrikis telah menemukan strain tersebut dan menamakannya sebagai “Deltacron”. Beliau merupakan seorang profesor sains biologi di Universiti Cyprus.
Bagaimanapun, pakar COVID dari WHO, Dr Krutika Kuppalli memaklumkan perkara sebaliknya berkenaan perkara ini di Twitter. Menurut beliau, kemungkinan apa yang terjadi adalah disebabkan oleh keadaan spesimen yang telah dicemari apabila sebahagian fragmen Omicron mencemari spesimen Delta.
Beliau turut berpesan agar tidak sewenang-wenangnya menggabungkan nama-nama penyakit berjangkit seperti yang dilakukan oleh pasangan selebriti.
Pakar virologis dari Kolej Imperial London, Dr Tom Peacock turut menyatakan pendapat yang sama di Twitter. Beliau melihat perkembangan “Deltacron” pada ketika ini lebih pada pencemaran sampel ujian makmal.
Dalam pada masa yang sama, pakar genetik Fatima Tokhmafshan dari Institut Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti McGill di Montreal turut mengutarakan pandangan yang sama. Menurut beliau, ‘Deltacron’ diakibatkan oleh pencemaran dan bukannya dari penggabungan semula berdasarkan pemerhatian pada jujukannya (sequence).













