Menerusi jawapan bertulis bagi sesi bahas di parlimen, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun akan bermula pada tahun hadapan.
Buat masa ini, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKPCV) sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap bagi kelompok berkenaan.
Menurut KKM lagi, kumpulan kanak-kanak berkenaan akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech COMINARTY. Pfizer akan membentangkan data-data berkaitan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menjelang akhir tahun ini untuk kelulusan.
Pfizer baru-baru ini telah diberi kelulusan penggunaan kecemasan pada kanak-kanak oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA). Kelulusan dari Kesatuan Eropah bagi tujuan yang sama bagaimanapun masih lagi sedang di dalam proses.
Berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan oleh Pfizer, tahap keberkesanan vaksin tersebut mencapai 90.7% untuk melindungi kanak-kanak dengan hanya suku dari dos yang diterima oleh orang dewasa.
Malaysia telah memulakan pemvaksinan belia berusia 12 hingga 17 tahun beberapa bulan lalu. Seramai lebih dari 78% kumpulan belia berkenaan sudah menerima dos lengkap.
Ketika negara sedang memasuki fasa endemik, kadar jangkitan COVID-19 buat masa dilihat kembali meningkat pada nilai R0=1.0.













