Utama Mobile Aplikasi Kerajaan AS senaraikan laman e-Dagang Alibaba dan Tencent sebagai “Notorious Markets”

Kerajaan AS senaraikan laman e-Dagang Alibaba dan Tencent sebagai “Notorious Markets”

936
0

Pelbagai laman web e-dagang yang dikendalikan oleh Tencent Holdings dan Alibaba Group Holdings telah disenaraikan sebagai “notorious markets” oleh Perwakilan Pedagangan Amerika Syarikat (US Trade Representative, USTR).

Menurut laporan dari Reuters, senarai tersebut telah mengenalpasti sebanyak 42 platform dalam talian dan 35 gedung fizikal di China dilaporkan terlibat atau memberikan kemudahan akses ke barangan palsu atau melanggar undang-undang hak cipta terpelihara.

AliExpress dan ekosistem e-dagang WeChat merupakan antara yang baru dimasukkan ke dalam senarai berkenaan. Selain dari itu, platform dalam talian dari China yang turut disenaraikan adalah Baidu Wangpan, DHGate, Pinduoduo, dan Taobao.

Di dalam kenyataan oleh Pejabat USTR menyebut gedung-gedung pasaran dalam talian ini “diketahui mengeluarkan, memasarkan dan menjual barangan cetak rompak.”

Lanjutan dari perkembangan tersebut, Alibaba memberikan maklumbalas dengan menyatakan kesediaannya memberikan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan berhubung perlindungan harta intelek di seluruh platformnya.

Tencent pula walaubagaimanapun membantah penyenaraian tersebut kerana yakin pihaknya giat memantau dan mencegah mana-mana pihak yang melanggar peraturan platformnya berkenaan harta intelek. Dalam pada masa yang sama, Tencent turut menyatakan pihaknya telah membuat pelaburan yang besar dalam melindungi hakcipta harta intelek.

Pihak kerajaan China turut tidak bersetuju dengan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Amerika Syarikat tersebut dan menganggap sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Reuters turut melaporkan penyenaraian ini tidak akan mengenakan apa-apa denda pada platform-platform yang disenaraikan. Namun, ia akan memberikan kesan terhadap reputasi apabila berurusan dengan badan industri yang terlibat seperti American Apparel and Footwear Association (AAFA) dan Motion Picture Association.

Tinggalkan komentar