Sekitar Mac yang lalu, unifi pernah mengacah untuk memperkenalkan pelan jalur lebar baharu 2Gbps dan kini pelan tersebut didedahkan. Selain itu, pelan jalur lebar 1Gbps baharu juga akan diperkenalkan.
Pada asalnya, maklumat tersebut telah dimuat naik ke laman web rasmi unifi. Namun telah ditarik semula atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Kedua-dua pelan berkenaan, 2Gbps dan 1Gbps dinyatakan ditawarkan pada harga masing-masing RM459 dan RM409 sebulan.
Bersempena pelancarannya, pelan unifi ini akan ditawarkan harga promosi RM399 dan RM349 masing-masing. Pakej-pakej ini juga didatangkan dengan aplikasi-aplikasi penstriman seperti Disney+ Hotstar secara percuma.
Pelan-pelan jalur lebar unifi ini juga dinyatakan akan didatangkan bersmaa-sama Unifi TV, serta kontrak yang akan diikat untuk tempoh selama 24 bulan.
Selain internet tanpa had yang ditawarkan menerusi pelan-pelan tersebut, unifi turut menawarkan router Wi-Fi 6 dan Mesh, panggilan suara percuma untuk semua talian sebanyak 600 minit dan perkhidmatan pemulihan dalam tempoh 12 jam waktu bekerja.
Setakat ini, kita masih lagi perlu menunggu pengumuman rasmi dari pihak unifi dan dijangkakan, maklumat yang ditarik berkenaan akan dimuat naik semula dalam masa yang terdekat.













