Samsung Galaxy S22 Ultra secara zahirnya dilihat agak berbeza dengan model siri Galaxy S22 yang lain. Boleh dikatakan, model ini lebih cenderung sebagai pewaris kepada kesinambungan Samsung Galaxy Note sebelum ini terutamanya pada S Pen yang disertakan bersama dengannya.
Menerusi artikel ini, kita akan melihat sepintas lalu telefon pintar mercu terbaru keluaran Samsung ini.
Nyah kotak Samsung Galaxy S22 Ultra
Kotak pembungkusan Samsung Galaxy S22 Ultra menampilkan rekaan yang amat sama dengan siri Galaxy S21 yang hadir pada tahun lepas.
Ia menampilkan kotak hitam nipis bersama-sama paten rekaan yang menunjukkan siri telefon pintar berkenaan.
Rekaan kotak ini nipis kerana ia tidak disertakan bersama-sama kepala pengecasnya. Barangan-barangan yang disertakan di dalam kotak tersebut termasuklah, kabel USB-C ke USB-C, helaian-helaian panduan dan waranti dan juga telefon Samsung Galaxy S22 Ultra berkenaan.
Pandang Pertama Samsung Galaxy S22 Ultra
Kami telah menerima satu unit Samsung Galaxy S22 Ultra berwarna Burgundy (merah tua) untuk diulas pada kali ini. Selain dari warna Burgundy, model telefon ini turut menawarkan pilihan warna Green (Hijau), Phantom Black (Hitam) dan Phantom White (Putih).
Permukaan bahagian belakangnya menyediakan kemasan matte yang menawarkan lebih cengkaman apabila memegangnya selain turut mengurangkan kesan cap jari.
Tidak seperti rekaan luaran model-model lain di dalam siri ini dan juga siri terdahulu, bahagian kamera Samsung Galaxy S22 Ultra tidak mempunyai bonggolan yang tersendiri. Oleh itu, kelima-lima kamera berkenaan kelihatan terpacul dari permukaan belakang telefon ini.
Pada sebelah hadapannya pula, telefon ini menyediakan paparan Dynamic AMOLED 2X QHD 6.8-inci dengan kadar penyegaran semula adaptif dari 1Hz hingga 120Hz. Selain itu, paparan yang disediakan pada telefon ini kelihatan amat nipis pada bahagian atas dan bawahnya, serta melengkung pada sebelah kiri dan kanannya.
Pastinya, paparan pada skrin Samsung Galaxy S22 Ultra ini kelihatan amat memukau dan akan diulas dengan lebih lanjut menerusi artikel ulasan yang akan datang.
Sama seperti keluaran sebelum ini, telefon ini menawarkan rekaan paparan berpenebuk lubang yang menempatkan kamera hadapannya. Tidak dilupakan, paparan ini juga menyediakan sokongan pengimbas cap jari terbina dalam.
Keunikan Galaxy S22 Ultra ini salah satunya adalah pada S Pen yang disertakan bersama-sama dengannya. S Pen yang didatangkan bersama-sama penambahbaikan terutama dari segi kadar responsifnya ini juga hadir dengan tempat simpanannya sendiri pada bahagian bawah telefon ini.
Sebaik sahaja anda mengeluarkan S Pen dari ruang simpanannya, satu menu segera baharu yang dikhususkan pada aplikasi-aplikasi yang dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan S Pen akan muncul.

Melaluinya, anda dapat menggunakan ciri unik S Pen seperti menyalin nota atau melukis draf dengan lebih pantas. Ciri-ciri unik S Pen ini juga akan diterangkan dengan lebih lanjut menerusi artikel ulasan khas mengenainya akan datang.
Selain dari binaan yang amat kukuh apabila dipegang, Samsung Galaxy S22 Ultra turut menggunakan pemprosesan antara yang paling mantap pada tahun ini. Untuk pasaran Malaysia, model ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1. Cipset ini merupakan kesinambungan dari Snapdragon 888 dan menampilkan pelbagai penambahbaikan baharu.
Bermula dari 10 Februari 2022, Galaxy S22 Ultra telah mula dijual menerusi Samsung Malaysia, syarikat rangkaian telekomunikasi utama dan pengedar dalam talian. Pilihan warna dan memori bagi peranti tersebut adalah seperti berikut:
- Galaxy S22 Ultra: Phantom Black, Phantom White, Green dan Burgundy dalam model 128GB, 256GB dan 512GB
| Model dan Kapasiti Storan | Harga | Warna |
| Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 512GB | RM 5,899 | Phantom Black, Phantom White Green, Burgundy |
| Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 256GB | RM 5,499 | Phantom Black, Phantom White, Green, Burgundy |
| Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 128GB | RM 5,099 | Phantom Black, Phantom White Green, Burgundy |
Kesemua peranti dalam siri Galaxy S22 akan diliputi perlindungan Samsung Care+, perkhidmatan sokongan untuk sebarang kerosakan tidak sengaja, pembaikan dan banyak lagi. Sila layari https://www.samsung.com/my/, https://www.samsungmobilepress.com, https://news.samsung.com/my/ atau https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-s22-ultra/buy/ untuk maklumat lanjut mengenai Galaxy S22 Ultra.
Spesifikasi Samsung Galaxy S22 Ultra
| Cipset | Snapdragon 8 Gen 1, 4nm 1 x Cortex-X2 @ 3 GHz + 3 x Cortex-A710 @ 2.5GHz + 4 x Cortex-A510 @ 1.8 GHz Adreno 730 GPU |
|
| RAM | 8GB | |
| Storan | 128GB UFS 3.1 | |
| Paparan | Paparan Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.8-inci Corning Gorilla Glass Victus+ HDR10+ 1750 nits Kadar penyegaran semula adaptif 1Hz hingga 120Hz |
|
| Kamera belakang | Kamera bersudut luas 108MP f/1.8, PDAF, Laser AF, OIS Kamera telefoto 10MP f/4.9, kamera zum optikal 10x, dwi-piksel PDAF, OIS Kamera telefoto 10MP f/2.4, zum optikal 3x, dwi-piksel PDAF, OIS Ultra-lebar 12MP f/2.2 120, dwi-piksel PDAF, Super Steady video LED flash, auto-HDR, panorama 8K@24fps, 4K@30/60fps, 1080p@30/60/240fps, 720p@960fps, HDR10+, rakaman bunyi stereo dan gyro-EIS |
|
| Kamera hadapan | Kamera bersudut luas 40MP f/2.2 80˚, PDAF Dwi panggilan video, Auto HDR 4K@30/60fps, 1080p@30fps |
|
| Bateri | 5000mAh Pengecasan pantas 45W Pengecasan pantas USB-PD 3.0 Pengecasan pantas 15W Pengecasan berbalik nirwayar 4.5W |
|
| Ukuran | 163.3 x 77.9 x 8.9 mm 229g |
|
| Penarafan kerintangan | IP68 | |
| Perisian | One UI 4.1 berasaskan Android 12 | |
| Warna | Phantom Black, Phantom White, Green, dan Burgundy | |














