Telefon pintar peringkat bajet tetap mempunyai permintaan terutamanya bagi pengguna yang peka dengan pengurusan kewangan yang cekap. Teknologi masa kini sudah dianggap cukup matang untuk menguruskan keperluan harian di dalam sesebuah telefon pintar.
Fungsi-fungsi seperti mengendalikan platform media sosial, permesejan, panggilan telefon, menonton video, atau apa jua yang kasual mampu diuruskan dengan baik oleh sesebuah model bajet.
Harga Redmi A5 di Malaysia
@harianteknologi Redmi A5 hadir ke pasaran Malaysia dengan harga dari RM299 untuk spesifikasi 3GB+64GB dan RM349 untuk spesifikasi 4GB+128GB. Telefon pintar dengan kuasa pemprosesan UNISOC T7250 ini juga boleh didapati dengan pilihan warna Midnight Black, Sandy Gold, dan Ocean Blue. Ia juga mempunyai bateri 5,200mAh serta skrin LCD besar 6.88-inci 120Hz dan AI Dual Camera 32MP. #redmi #redmiA5 #xiaomi @xiaomi.official
♬ Bossa Nova jazz that seems to fit in a cafe(1433079) – TAKANORI ONDA
Redmi A5 merupakan telefon pintar bajet yang mempunyai keupayaan tersebut dan dijual pada harga yang amat kompetitif di pasaran Malaysia. Ia berkesinambungan daripada Redmi A3 yang dilancarkan pada tahun lepas. Peranti 4G berharga bajet ini didatangkan dengan paparan besar 6.88-inci dan menggunakan sistem operasi Android 15 Go.
Terdapat dua varian ditawarkan di pasaran tempatan dengan harga rasminya adalah:
- Redmi A5 RAM 3GB + storan 64GB – RM299
- Redmi A5 RAM 4GB + storan 128GB – RM349
Anda boleh mendapatkan Redmi A5 menerusi kedai dalam talian rasmi Mi.com serta di platform e-dagang Lazada dan Shopee dengan pilihan warna Ocean Blue, Sandy Gold dan Midnight Black.
Spesifikasi
| Ukuran | 171.7 x 77.8 x 8.3 mm |
| Berat | 193 g |
| Skrin | LCD IPS |
| Resolusi | 720 x 1640 piksel |
| Kadar penyegaran semula skrin | 120Hz |
| Pemprosesa | Unisoc T7250 (12 nm) |
| RAM | 4GB / 6GB |
| Storan | 64GB / 128GB eMMC 5.1 |
| Sistem operasi | Android 15 (Go Edition) |
| Kamera belakang | 32MP f/1.8 (utama), 0.08MP (lensa sokongan) |
| Kamera hadapan | 8MP f/2.0 |
| Bateri | 5,200 mAh |
| Pengecasan | Berwayar 18W USB-C |
| Warna | Ocean Blue, Sandy Gold dan Midnight Black |
Rekabentuk dan Paparan
Badan telefon pintar ini seperti yang dijangkakan diperbuat daripada plastik dan ia sesuai dengan harganya. Pun begitu, telefon pintar bajet tidak semestinya perlu mengorbankan ciri-ciri estetika dan kekemasannya atas sebab pengurangan kos. Untuk itu, Xiaomi masih memberikan kualiti yang baik dengan kekemasan binaan Redmi 5A.
Selain itu, Redmi A5 juga dilengkapkan dengan butang pengimbas caj jari yang ditempatkan pada butang kuasa di sebelah kanannya. Manakala di sebelah bawahnya terdapat bicu audio yang apabila disambungkan dengan fon kepala berwayar boleh digunakan untuk mengakses ke radio FM melalui aplikasi tersedia di dalamnya.
Terdapat satu pembesar suara disediakan oleh telefon pintar ini dengan tahap kelantangan yang sederhana.
Skrin LCD IPS pada telefon pintar ini wajar diketengahkan. Ini kerana pada saiz 6.88-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, skrin ini dikirakan sebagai sesuatu yang lumayan. Malah, skrinnya ini juga boleh digunakan dengan tangan yang basah.
Paparan beresolusi HD yang disediakannya ini mampu memberikan tahap jitu imej yang baik ketika menonton video melalui YouTube atau apabila memain permainan mudah alih seperti Mobile Legend Bang-Bang. Bagaimanapun, untuk platform penstriman video seperti Netflix, tiada sokongan main semula HD disediakan dan kesannya kualiti tontonan akan kelihatan sedikit sendu.
Kadar penyegaran semula 120HZ yang disediakannya pula bagaimanapun terhad untuk fungsi seperti menguruskan menu tetapan. Lain-lain seperti melayari media sosial, pelayar web, menatal antamuka aplikasi dan sebagainya akan kembali pada 90Hz. Pun begitu pada kadar ini ia masih lagi dirasakan boleh dikendalikan dengan lancar.
Prestasi
Apabila membicarakan tentang telefon pintar bajet, beberapa perkara perlu berkompromi seperti lazimnya melibatkan prestasi perkakasan dan kamera. Redmi A5 juga mempunyai kekangan untuk memainkan permainan mudah alih pada tetapan grafik tinggi atau permainan seperti PUBG.
Berdasarkan pengujian yang kami lakukan, sekurang-kurangnya ia mampu memainkan permainan mudah alih Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) pada tetapan grafik rendah dengan prestasi memuaskan. Permainan-permainan lain yang ringan seperti Clash of Clans, Subway Surfers dan Candy Crush tentu sahaja dapat diuruskan tanpa sebarang masalah.
Aplikasi-aplikasi lain juga boleh dikendalikan dengan baik seperti Facebook, X, Instagram, TikTok dan juga Google Maps. Asalkan anda tidak membuat berbilang tugasan melibatkan 3 atau 4 aplikasi sekaligus, telefon pintar ini boleh beroperasi dengan baik.
Faktor kelancarannya ini turut didorong oleh penggunaan versi Android yang lebih ringan, Android 15 Go Edition menerusi antaramuka Xiaomi HyperOS. Versi ini lebih ringan disebabkan ketiadaan ciri-ciri yang mencantikkannya seperti animasi pada antaramukanya. Xiaomi juga menjanjikan kemaskini sistem operasi untuk telefon pintar bajet ini untuk selama dua tahun.
Kamera
Sama seperti prestasi keseluruhannya, kamera Redmi A5 juga sekadar memuaskan sahaja. Ia dilengkapkan dengan kamera utama 32MP dan lensa sokongan, serta sebuah kamera 8MP di sebelah hadapannya.
Imej yang dihasilkannya tidak begitu jitu dan pengolahan warnanya juga memuaskan. Apa yang bagusnya, Redmi A5 berupaya menguruskan sorotan dan julat dinamik dalam keadaan cerah dengan agak baik. Pastikan keadaan pencahayaan persekitaran yang baik, anda mampu mendapatkan gambar yang memuaskan dari telefon pintar ini.
Sampel gambar Redmi A5
Kualiti rakaman video pula mampu mencapai pada 1080p dan boleh merakamkan dengan baik. Kekurangannya pula terletak pada rakaman yang amat bergegar kerana ia tidak didatangkan dengan sokongan penstabil imej.
Pendek kata, kamera yang ditawarkan olehnya cukup sekadar untuk mengambil foto-foto biasa dan juga panggilan video biasa.
Bateri
Bateri Redmi A5 tidak mengecewakan. Berkapasiti 5,200mAh, pemprosesan berkuasa rendah, dan paparan HD, menjadikan penggunaan bateri dari bahan Lithium-Polimer (Li-Po) ini mampu bertahan lebih dari sehari setengah.
Menariknya, telefon pintar ini juga juga didatangkan dengan pengecas 15W di dalam kotak pembungkusannya. Sesuatu yang sudah mula jarang dilakukan oleh pengeluar terutamanya untuk model-model mercu.
Melalui pengecas yang disediakannya ini, Redmi A5 boleh dicaskan sehingga penuh sekitar 2 jam hingga 2 jam 30 minit. Nampak macam lama juga menunggunya tu, tapi tengok harga dia kira boleh lah kan.
Kesimpulan
Pada pandangan saya Redmi A5 membawakan perubahan dari segi kebolehcapaian teknologi telefon pintar kepada lebih ramai pengguna terutamanya bagi yang mementingkan bajet. Telefon pintar ini mampu beroperasi sebaiknya dengan perkakasannya. Rekabentuknya yang menarik untuk sesebuah peranti bajet amat wajar dialu-alukan keutamaan yang diberikan terhadapnya.

















