Siri Reno merupakan siri yang amat istimewa di kalangan telefon pintar keluaran OPPO. Ia menumpukan pada ciri rekabentuknya yang nipis serta fotografi potret dan swafotonya yang cemerlang menjadi tarikan utama pengguna terutamanya wanita. Ciri tersebut dilihat masih lagi dikekalkan pada siri OPPO Reno 10 Pro.
Bersempena pelancarannya pada hari ini, kami berpeluang untuk membuat ulasan mengenai model paling tinggi dari siri berkenaan, OPPO Reno 10 Pro Plus. Pelbagai ciri dan kelebihan yang menarik dimuatkan pada telefon pintar ini terutamanya pada lensa berperiskopnya.
Prestasi
Kita mulakan dengan prestasinya. Spesifikasi yang ditawarkannya agak menarik melalui penggunaan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dan RAM 12GB, berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini.
Untuk permainan mudah alih, anda boleh memainkan hampir apa jua jenis judul permainan yang boleh dimuat turun di Google Play Store. Anda boleh mencapai tahap grafik tertinggi pada 60fps di dalam permainan Genshin Impact dengan mudah.
Bagaimanapun, seperti telefon pintar OPPO yang lain, permainan tersebut perlu dihidupkan tetapannya dari perisian telefon pintar berkenaan untuk membolehkan ia dimainkan lebih dari 60fps.
Skrin
Seterusnya mengenai skrin telefon pintar keluaran OPPO yang baharu ini. Skrin AMOLED yang melengkungnya ini boleh dikatakan agak panjang dengan ukuran 6.74-inci. Ia mempunyai resolusi sebanyak 2772×1240 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Dari segi warna dan juga kejituan warna pada paparan skrin telefon pintar ini sememangnya cantik dan sedap mata memandang. Kecerahan maksimumnya pula sekitar 850 nits dan ia bukanlah yang terbaik namun masih memadai untuk melihat skrin apabila di bawah sinar matahari.
Paparan yang melengkung sebegini memang cantik apabila dipegang dan juga dilihat. Cuma untuk mencari skrin pelindungnya agak sukar jika dibandingkan dengan skrin rata biasa.
Kamera
Penambahbaikan paling ketara pada OPPO Reno 10 Pro Plus adalah pada kameranya. Sefslah bertahun-tahun, OPPO kini akhirnya membawakan kembali kamera telefoto periskopik pada siri Reno ini.
Peminat fotografi pastinya dapat menikmati keleibihan ini kerana dapat menghindari objek yang anda tidak ingin dimasukkan di dalam foto anda dengan mengambil fokus pada subjek.
Foto dari kamera telefoto ini kelihatan jelas dalam keadaan yang terang dan cukup pencahayaan. Untuk keadaan kurang pencahayaan, kualitinya dilihat tidak secantik foto di tempat yang terang.
Siri Reno sememangnya dikenali hebat dalam mod Potrait dan untuk model telefon pintar ini, ia juga tidak terkecuali dari kelebihan tersebut. Di dalam mod Portrait berkenaan juga disediakan fungsi kawalan apertur secara maya untuk membolehkan foto yang anda ambil kelihatan seperti menggunakan DSLR.
Melalui sokongan fungsi ‘Beauty’ dan gambar latar belakang bokeh AI, foto yang dihasilkannya kelihatan menawan. Kesemua kamera-kamera pada OPPO Reno 10 Pro Plus ini menyediakan fungsi tersebut kecuali kamera ultra-lebar.
Kamera utama dan telefoto menyokong rakaman video sehingga 4K 60fps. Namun untuk kamera ultra-lebar, anda hanya boleh merakamkan video 1080p pada 30 fps.
Perisian
OPPO Reno 10 Pro Plus menggunakan antaramuka OPPO ColorOS 13.1 yang berasaskan Android 13. Ia berbeza dengan ColorOS yang biasa terdapat pada peranti OPPO lain, cuma bilangan aplikasi sarap di dalamnya tidaklah begitu ‘meriah’ dan terlalu banyak.
Namun, secara keseluruhan ColorOS 13 ini masih lagi mampu menawarkan kepenggunaan yang bagus terutama pada fungsi ‘shelf’ padanya. Sekadar cadangan, OPPO mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah wijet paparan halaman utama di dalamnya.
Bateri dan pengecasan
Kelajuan mengecas OPPO Reno 10 Pro Plus juga telah dipertingkatkan dari 80W kepada 100W. Anda boleh mengecaskannya sehingga penuh dalam tempoh kurang dari setengah jam.
Kapasiti baterinya cuma 4,700mAh dan memandangkan ia dilengkapkan dengan pemprosesan berkuasa tinggi, tempoh penggunaan baterinya yang tidak begitu panjang adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.
Telefon pintar keluaran OPPO yang terkini ini juga tidak menyediakan sokongan pengecasan secara nirwayar.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, OPPO Reno 10 Pro Plus merupakan telefon pintar yang menawarkan prestasi baik seperti jangkaan. Kameranya juga baik sesuai dengan tarafnya selaku telefon pintar mercu.
OPPO Reno 10 Pro Plus dijual pada harga dari RM3,499 (12GB + 256GB) dan boleh didapati dengan pilihan warna Glossy Purple dan Silvery Gray.















