Agak lama OPPO tidak menawarkan peranti pintar boleh pakai ke pasaran Malaysia dengan kali terakhir ditawarkan pada tahun lalu melalui OPPO Band. Terkini, OPPO memperkenalkan versi baharu jam tangan pintar kecergasan berkenaan melalui OPPO Band 2 yang dilancarkan seiring dengan telefon pintar OPPO A77s.
Jom kita lihat apakah pembaharuan yang telah dibawakan pada jam tangan pintar OPPO generasi kedua ini.
Rekabentuk
OPPO Band 2 menampilkan paparan AMOLED 1.57-inci dengan warna yang menarik dan kecerahan yang cukup bagus untuk digunakan di luar. Bingkainya pula agak tebal terutamanya pada bahagian bawah paparannya.
Pun begitu, OPPO memanfaatkan ruangan yang ada pada paparan jam tangan kecergasan pintar ini dengan sebaiknya. Tambahan pula dengan rekaan segi empat sama ini, lebih banyak maklumat dapat disampaikan berbanding segi empat tepat seperti rekaan OPPO Band sebelumnya.
Muka taip (font type) dan grafiknya juga dipaparkan dengan jelas dan mudah dibaca. Perkara ini banyak disumbangkan oleh pereka antaramuka penggunanya yang jelas menguruskan tata susunan huruf dan gaya dengan amat baik.
Rekaan tali jamnya juga memuaskan dan selesa apabila memakainya. Cangkuk talinya juga adalah jenis biasa yang kita sering ketemukan pada jam-jam tangan biasa. Hal ini adalah perkara biasa dan tidak mendatangkan sebarang isu jika pergelangan lengan anda bersaiz biasa.
Pada bahagian bawahnya disediakan sensor dan juga poin sentuhan bermagnet. Tiada apa yang luar biasa untuk diulas pada bahagian ini. Cuma OPPO Band 2 selesa apabila dipakai kerana tidak meninggalkan kesan berbekas selepas anda menanggalkannya seperti sesetengah jam tangan kecergasan pintar kerana sensornya yang terlalu tebal.
Kabel magnetik yang disediakan bersama-sama kotak pembungkannya melekap pada bahagian belakang dengan amat kemas dan memudahkan anda mengecas. Pun begitu, anda tidak dinasihatkan untuk membiarkannya tergantung ketika mengecaskannya kerana dikhuatiri boleh melonggarkannya jika dibiarkan selalu.
Antaramuka
Susunan menunya boleh diakses dengan membuat gerakan gestur ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan. Untuk gestur sebelah atas, anda akan mengakses ke panel fungsi segera untuk melaraskan kecerahan, mengaktifkan mod bebas gangguan atau tidur, menghidupkan lampu suluh, mencari telefon anda, dan tetapan tambahan.
Gestur sebelah bawah pula memberikan akses untuk membaca secara ringkas Mesej dan Notifikasi yang dihantar ke telefon anda dan juga jam tangan kecergasan pintar ini. Sebelah kiri pula menunjukkan sejumlah aplikasi yang boleh diakses yang anda boleh gunakan dari senaman, jam randik hinggalah ke kawalan muzik dan peringatan untuk minum air.
Akhir sekali, gestur di sebelah kanan pula membawakan kesemua statistik pemantauan kesihatan dari Aktiviti, Tidur dan Kadar Nadi. Ia memudahkan anda melihat sekali imbas tanpa perlu membuka aplikasi di dalam telefon.
Antara fungsi kesihatan yang menarik, penjejakan tidur OSleep pada jam tangan pintar ini membantu anda memantau tahap kualiti tidur anda dari mula melelapkan mata hingga bangun dari tidur.
OPPO Band 2 dilihat mampu bertahan sehingga 14 hari selepas dicaskan sehingga penuh. Anda juga boleh menggunakannya untuk sehari suntuk jika mengecaskannya dalam tempoh 5 minit.
Aplikasi Pendamping Digital OPPO HeyTap Health
Aplikasi yang dimaksudkan adalah HeyTap Health dari OPPO yang merupakan pendamping digital untuk semua peranti boleh pakai pintar. Paparan utamanya (Health) menyediakan halaman kesihatan yang menyediakan pelbagai jadual parameter kecergasan dalam bentuk teks dan grafik.
Tab kedua di dalam halaman aplikasi berkenaan pula, Fitness, memaparkan posisi semasa anda melalui Google Map. Anda bileh memulakan sesi Larian atau Jalan Kaki anda dengan mengetik pada butang hijau besar ‘Start’ berkenaan. Usai sesi senaman anda selesai, ketik pada butang berkenaan yang sudah menjadi merah untuk berhenti. Terdapat lebih dari 100 jenis senaman yang anda boleh pilih menerusi OPPO Band 2 bersama-sama aplikasi ini. Keputusan hasil dari senaman bersama-sama laluan yang anda ambil akan dipaparkan pada tab ini.
Jumlah jarak yang anda sudah lalui juga akan dipaparkan pada sebelah atasnya termasuk semua jenis aktiviti larian anda. Anda boleh membuat semakan terperinci maklumat yang direkodkan termasuk jenis senama dan jarak yang diambil bagi setiap sesi dengan mengetik pada tab tersebut.
Tab yang terakhir, Manage pula lebih kepada memaparkan papan pemuka bagi menguruskan keseluruhan aplikasi HeyTap Health dan juga peranti boleh pakai yang dipautkan. Menerusinya anda boleh menukar-nukar muka jam pada OPPO Band 2 mengikut citarasa dengan amat mudah.
Harga OPPO Band 2
Secara keseluruhannya, OPPO Band 2 menampilkan skrin yang bagus untuk memaparkan maklumat-maklumat yang diperlukan dengan jelas dan padat. Melalui sejumlah fungsi dan papan pemuka untuk ditelusuri dengan gestur, anda boleh mendapatkan hampir semua maklumat yang diperlukan tanpa perlu membuka aplikasi di dalam telefon pintar anda.
Ditawarkan dengan pilihan warna Midnight Black dan Baby Blue, anda boleh mendapatkannya di wakil pengedar OPPO yang sah di seluruh negara. Selain itu anda juga boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian rasmi OPPO di Lazada dan Shopee.





















