PULAU LANGKAWI, 16 OKTOBER 2022 – Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa hari ini melancarkan lokasi kedua program DE Rantau di Pulau Langkawi, Kedah bagi memperluaskan lagi destinasi pilihan nomad digital untuk melancong sambil bekerja di Malaysia, di samping memacu pendapatan komuniti setempat dan mendorong pertumbuhan ekonomi digital negara.
DE Rantau yang telah dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada 13 September 2022, adalah satu Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN), yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan utama warga nomad digital asing dan menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital antarabangsa, pada masa sama memperkasakan sektor pelancongan negara di mata dunia.
YB Tan Sri Annuar berkata, sejajar dengan usaha pemulihan sektor pelancongan, Pulau Langkawi adalah destinasi program DE Rantau kedua yang tepat buat warga nomad digital asing dan tempatan untuk menerokai pelbagai keindahan alam semula jadi yang sarat dengan sejarah serta kisah lagenda tersendiri.
Kerajaan teruja untuk menawarkan Pulau Langkawi sebagai destinasi buat nomad digital asing untuk melancong sambil bekerja di Pulau Langkawi menerusi program DE Rantau.
“Kerajaan juga yakin dengan kehadiran nomad digital ke pusat pelancongan yang terkenal sebagai pulau bebas cukai ini akan menyokong peningkatan ekonomi pelbagai sektor, sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi digital negara di mana kerajaan menjangkakan program DE Rantau ini akan menyumbangkan sebanyak RM4.8 bilion ke dalam ekonomi negara menjelang tahun 2025,” katanya.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menerajui inisiatif ini, mewujudkan ekosistem berdaya maju bagi mendukung gaya hidup nomad digital yang menginginkan keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan.
Justeru, sejak pembukaan permohonan Pas DE Rantau Nomad pada 1 Oktober lalu, MDEC telah menerima melebihi 2,000 permohonon yang telah dikemukakan atas talian. Pas Lawatan Ikhtisas berkenaan adalah untuk memudahkan nomad digital warga luar negara yang layak untuk menetap dan bekerja di Malaysia untuk tempoh 12 bulan bersama pasangan dan anak masing-masing.
MDEC juga telah meluluskan 113 permohonan untuk menjadi Hab DE Rantau di Langkawi. Mereka ini terdiri daripada pengusaha dan peniaga tempatan.
Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, berkata, “Bersandarkan maklum balas awal yang telah diterima menerusi program ini, ia jelas menunjukkan daya tarikan kuat Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan. MDEC akan terus bekerja rapat dengan semua pemegang taruh dalam ekosistem untuk memastikan kejayaan program DE Rantau ini.”
DE Rantau turut menerima banyak sokongan daripada syarikat dan pemain industri tempatan yang ingin turut sama menggembleng usaha memainkan peranan mereka dalam ekosistem nomad digital.
Maklum balas yang memberangsangkan itu menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi dalam kalangan nomad digital terhadap Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di rantau ini, berikutan perkhidmatan, kemudahan dan fasiliti yang ditawarkan menepati keperluan, malah pemain industri juga menerima manfaat dari inisiatif DE Rantau ini.
Lantaran itu juga, seiring dengan gaya hidup di hujung jari menerusi penggunaan peranti digital menerusi program ini, K-KOMM bersama MDEC turut memperkenalkan aplikasi telefon pintar, DE Rantau Platform. Aplikasi ini bagi memudahkan kehidupan nomad digital di Malaysia untuk mengakses ekosistem yang lebih progresif dan lengkap, merangkumi tempat penginapan tersedia-nomad, dan pelbagai perkhidmatan tempatan dari sektor pelancongan, pengangkutan, e-dagang, e-pembayaran, dan perkhidmatan lain.
“Langkawi memiliki segalanya, malah mempunyai nilai keseimbangan dan keunikan tersendiri yang menjadikan pulau ini menarik lagi mendamaikan. Antara hasil kerja terbaik saya telah berjaya dihasilkan di sini. Pulau ini sememangnya amat sesuai dijadikan kediaman dan ia mampu memberi seribu satu ilham,” kata Hans Baetsen, seorang profesional digital warganegara Belanda yang kini bekerja secara jarak jauh mewakili salah sebuah syarikat multinasional kandungan digital dan e-pembelajaran.
MDEC akan menyelia pembangunan hab-hab nomad digital dan ekosistem tempatan agar bersesuaian dengan gaya hidup nomad digital.
Di bawah rangka inisiatif strategik nasional, Malaysia Digital (MD), DE Rantau merupakan salah satu daripada pelbagai PEMANGKIN yang sedia ada dalam perancangan bagi tahun 2022.
Ia bertujuan untuk menjana kesan limpahan ekonomi menerusi akses yang saksama ke atas pengetahuan digital serta peluang pendapatan.
Sila layari https://mdec.my/derantau untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.