OPPO Malaysia baharu sahaja melancarkan OPPO A95 pada hari ini dan telefon peringkat pemula ini membawakan rekaan penuh gaya dan bateri tahan lama. Seterusnya, mampu menjadi pilihan buat anda yang ingin menggunakan telefon pintar sepanjang hari secara berterusan.
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat, saya telah berkesempatan menerima sebuah unit ulasan OPPO A95 berwarna hitam (Glowing Starry Black). Bagaimanapun, unit yang diterima ini tidak disertakan bersama kotak pembungkusan dengan aksesori dalamannya.
Dari segi rupa luarannya, telefon baharu keluaran OPPO ini menampilkan paparan AMOLED 6.43-inci. Pada sebelah hadapannya juga, turut menempatkan kamera yang ditempatkan pada penjuru atas sebelah kiri.
Di sebelah kanannya disediakan butang suisnya dengan di sebelah sisi kirinya pula menyediakan butang kawalan bunyi dan dulang kad SIM. Telefon ini juga masih menyediakan bicu audio 3.5mm pada sebelah bawahnya yang turut menyediakan port USB-C dan gril pembesar suara.
Spesifikasi OPPO A95
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 662
- RAM: 8GB (dengan RAM Expansion)
- Storan: 128GB
- Paparan: AMOLED FHD+ 6.43-inci
- Kamera belakang: Utama 48MP, makro 2MP, berkedalaman 2MP
- Kamera hadapan: 16MP
- Bateri dan sokongan pengecasan: 5000mAh, Flash Charge 33W
- Sistem operasi: ColorOS 11.1 berasaskan Android 11
Praktikal, lasak dan tahan lebih lama
OPPO A95 berkeupayaan menjalankan sejumlah aplikasi secara serentak dalam satu-satu masa berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan olehnya. Ia juga turut dibantu oleh fungsi tambahan seperti RAM Expansion dan System Booster membantu meningkatkan lagi kelancarannya.
Dikuasakan dengan Qualcomm Snapdragon 662 bersama-sama RAM 8GB dengan storan 128GB telefon ini memberikan prestasi dan berkecekapan tinggi kepada penggunanya.
OPPO RAM Expansion
Teknologi RAM Expansion dari OPPO disediakan pada telefon pintar bagi meningkatkan kelancarannya apabila memerlukan memori tambahan. Anda boleh memilih untuk mengubah sebahagian dari ROM (storan) yang tidak digunakan untuk dijadikan sebagai RAM maya.
System Booster
Fungsi ini merupakan ciri pengoptimasian pada peringkat sistem yang direka khusus bagi memastikan telefon ini beroperasi dengan lancar sepanjang masa.
Pun begitu, ketika memainkan permainan seperti PUBG Mobile atau Genshin Impact melalauinya, anda akan dapat merasakan sedikit panas pada bahagian belakangnya.
Permainan tersebut boleh sahaja dimainkan, cuma perlu dimainkan pada tetapan rendah jika inginkan lebih lancar.
Bateri tahan lama
Untuk kegunaan ringan dan kasual seperti melayari Facebook dan Twitter, bateri dengan kapasiti 5,000mAh yang disediakan mampu bertahan sehingga dua hari, berdasarkan apa yang saya dapati sejak mula menggunakannya.
Kelebihan ini pastinya dapat memudahkan pengguna yang sentiasa berada di luar dan sukar mendapatkan akses untuk mengecas peranti. Mengikut makluamt yang diterima, OPPO A95 berkeupayaan menyokong pengecas pantas 33W.
Rekaan bergaya dan penuhi keselesaan
Sungguhpun mempunyai bateri yang berkapasiti besar, OPPO A95 masih mampu hadir dalam bentuk nipis dan ringan. Pada berat hanya 175 gram dan berketebalan 7.95mm, paparan berpenebuk lubang AMOLED FHD+ 6.43-inci telefon ini turut menyediakan fungsi All-Dat Eye Care bagi menambah keselesaan penggunaannya.
Skrin dengan panel AMOLED pada telefon pintar ini tentunya memberikan pengalaman tontonan kandungan berdefinisi tinggi yang amat memuaskan. Ia tentunya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan panel LCD dari segi warna yang lebih menonjol dan kejelasan kontrasnya.
Untuk rekaan luarannya pula, kemasan matte pada permukaan belakangnya memberikan rasa selesa dan tidak perlu bimbang mengenai kesan cap jari padanya.
Telefon yang menerima penarafan IPX4 bagi kerintangan air dan debu ini juga dikatakan menjalani ujian kelasakan seperti radiasi UV, pemanasan dan keselamatan pengecasan dan juga kerintangan calar.
Tri-kamera 48MP dengan AI
Tetapan tri-kamera OPPO A95 hadir dengan sensor utama 48MP yang dikuasakan oleh keupayaan AI. Ia sepatutnya bertujuan menjadikan imej yang ditangkap lebih menarik. Tetapi, ia bergantung pada keadaan pencahayaan dan juga selera masing-masing terhadap fotografi.



Pandangan saya, kameranya tidak begitu ‘mengancam’ apabila mengambil imej di dalam keadaan kurang pencahayaan seperti di dalam bangunan. Beberapa tempat di dalam imej juga kelihatan amat ketara kesan suntingan khasnya serta kekurangan dari segi kejelasannya. Mungkin hal ini akan dapat ditambah baik kemudian melalui kemaskini perisian yang akan datang.
Walaupun begitu, untuk kegunaan muat naik sebagai perkongsian di media sosial, kualiti imej yang ditawarkan olehnya sudah lebih dari memadai.
Antaramuka ColorOS 11.1
Antaramuka yang digunakan OPPO A95, ColorOS 11.1 adalah berasaskan Android 11 dan didapati terdapat sedikit kekurangan dari segi kelancaran ketika melakukan leretan pada paparannya.
Tambahan pula, kadar penyegaran semulanya yang hanya pada 60Hz juga turut menyumbang kepada kekurangan ini.
Namun, ia tidaklah mengganggu keseluruhan penggunaan telefon pintar ini terutamanya melibatkan penggunaan aplikasi-aplikasi secara kasual.
Kesimpulan
Dari sesetengah sudut, OPPO A95 4G merupakan telefon pintar yang bagus. Tetapi jika mengikut harga jualannya iaitu RM1,099, perkara sebegini perlu difikirkan semasak-masaknya. Lagipun, Snapdragon 662 bukanlah cipset baharu dan cipset yang sama ini juga digunakan pada OPPO A74.
Secara keseluruhannya, OPPO A95 merupakan telefon yang kelihatan cantik dan kemas terutama pada bahagian permukaan belakangnya.
Bagi anda yang tidak kisah dengan sedikit kekurangan pada telefon pintar ini, anda boleh melakukan pra-tempahan dari 15 November hingga 19 November 2021.
Setiap pembelian pra tempahan akan layak untuk mendapatkan Enco Buds bernilai RM159 dengan hanya menambah RM1! Selain itu, ahli My OPPO boleh menebus tawaran terhad kod promo RM50 pada OPPO aplikasi.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan 6 bulan jaminan tambahan bernilai RM49.90 dan OPPO VOOC Powerbank bernilai RM229 apabila membeli OPPO A95 di kedai dalam talian rasmi OPPO dan mengambilnya di kedai-kedai jenama OPPO.
Kini anda boleh memilih untuk membuat pra tempahan di semua My OPPO Space, kedai-kedai jenama OPPO, kedai dalam talian rasmi OPPO, semua pengedar sah OPPO, kedai dalam talian sah OPPO, rakan rangkaian redai dan rakan e-dagang seperti Shopee, Lazada serta Astro Go Shop.
Jualan pertama OPPO A95 akan bermula dari 20 November 2021 dan akan tersedia di semua My OPPO Space, kedai-kedai jenama OPPO, kedai dalam talian Rasmi OPPO, semua pengedar sah OPPO, kedai atas talian sah OPPO, rakan rangkaian kedai dan juga rakan-rakan kongsi telco.
Untuk maklumat lanjut mengenai OPPO A95, sila layari laman web rasmi OPPO Malaysia.













