U Mobile telah memperluas liputan rangkaian 5G keduanya, yang dikenali secara rasmi sebagai U Mobile ULTRA5G, ke lebih banyak kawasan di seluruh negara, dengan kadar liputan terkini mencapai 54.9% di kawasan berpenduduk.
Perkembangan ini disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, melalui satu hantaran di laman X beliau.
Menurut U Mobile, rangkaian ULTRA5G kini telah diperluas ke lebih banyak kawasan, termasuk di Setapak dan Mid Valley. Liputan rangkaian ini juga merangkumi sebahagian besar Lembah Klang, Putrajaya, Pulau Pinang, dan Labuan.
Peratusan liputan ULTRA5G di beberapa lokasi utama:
- Putrajaya: 99.7%
- Kuala Lumpur dan Labuan: 90.8%
- Pulau Pinang: 82.3%
- Selangor: 70.9%
Walaupun angka liputan yang dilaporkan tinggi, laporan awal mendapati bahawa belum semua kawasan di Kuala Lumpur mendapat akses kepada rangkaian ini sepenuhnya. Pihak U Mobile juga belum mendedahkan sama ada pelancaran ULTRA5G telah bermula di negeri-negeri lain.
Datuk Fahmi Fadzil menekankan bahawa pembangunan rangkaian 5G kedua adalah penting untuk memupuk persaingan yang sihat, meluaskan liputan, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk pengguna di Malaysia.
Sebelum ini, U Mobile telah menyatakan sasaran untuk mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang separuh kedua tahun hadapan.













