Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang memuktamadkan penjualan operasi TikTok di AS kepada konsortium pelabur tempatan dan antarabangsa, dalam langkah mengakhiri kontroversi panjang berkaitan keselamatan data platform media sosial tersebut.

Menurut Naib Presiden JD Vance, nilai syarikat baharu TikTok AS dianggarkan mencecah AS$14 bilion (~RM59 bilion).

“Terdapat sedikit tentangan dari pihak China, namun matlamat utama kami adalah memastikan TikTok terus beroperasi sambil melindungi privasi data rakyat Amerika sepertimana dikehendaki undang-undang,” kata Vance kepada pemberita di taklimat Rumah Putih.

Trump turut mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Presiden China Xi Jinping mengenai perkara ini. “Saya bercakap dengan Presiden Xi dan kami mempunyai perbincangan yang baik. Saya memaklumkan kepadanya apa yang kami lakukan dan beliau berkata teruskan sahaja,” jelas Trump.

Keputusan ini datang selepas Trump berkali-kali menangguhkan larangan TikTok sejak mengambil alih jawatan untuk penggal kedua pada 20 Januari lalu.

Pelabur Utama TikTok di AS

Antara pelabur utama bagi cabang AS TikTok termasuk Michael Dell, Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies, dan Rupert Murdoch, bekas pengerusi Fox News. Perintah eksekutif baharu menetapkan ByteDance, syarikat induk TikTok, hanya dibenarkan memegang kurang daripada 20 peratus pegangan dalam TikTok AS bagi mematuhi keperluan yang ditetapkan pada 2024.

Sebelum ini, platform tersebut berdepan ancaman penutupan sepenuhnya di AS sekiranya tiada penyelesaian dicapai menjelang Januari 2025. Penjualan ini menandakan berakhirnya episod panjang isu TikTok yang bermula sejak penggal pertama pentadbiran Trump dahulu.

Tinggalkan komentar