Berucap di persidangan perniagaan di Doha, Presiden AS Donald Trump menyatakan beliau telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Tim Cook supaya menghentikan pengeluaran produknya di India. Sebaliknya, perlu menumpukan untuk meningkatkan pengeluaran di dalam Amerika Syarikat.
Permintaan ini hadir dalam usaha berterusan Apple untuk mempelbagaikan rantaian bekalannya dengan sebahagian besar daripadanya semakin meningkat di India beberapa tahun kebelakangan ini.
“I said to him, ‘Tim, you’re my friend, I’ve treated you very good… but now I hear you are building all over India. I don’t want you building in India,’” menurut cerita daripada Trump. Beliau menambah, sokongan terhadap India adalah penting, namun fokus pada AS perlu menjadi keutamaan.
Apple baru-baru ini telah mula mengimport iPhone dari India bagi memenuhi permintaan domestik di dalam AS. Bloomberg melaporkan 20% dari iPhone di pasaran merupakan buatan India. Angka tersebut dijangka meningkat kepada 25% dalam tempoh beberapa tahun lagi dalam usahanya mengurangkan kebergantungan terhadap China.
Dalam pada masa yang sama, Financial Times sebelum ini melaporkan Apple mensasarkan untuk menjadikan seluruh iPhone yang dipasarkan di AS akan dibuat di India sepenuhnya menjelang 2026.
Apple setakat ini belum mengeluarkan kenyataan berkenaan memindahkan kilang pengeluaran balik ke AS. Buat masa ini hanya Mac Pro sahaja yang dibuat secara domestik, dengan kebanyakan perkakasan lain dihasilkan di sejumlah negara termasuk China, Vietnam, India dan juga Malaysia.
Awal minggu ini Apple dilaporkan mempertimbangkan untuk menaikkan harga siri iPhone 17 baharunya. Kenaikan tersebut dikatakan mengambil kira pada pengenalan ciri-ciri dan rekabentuk baharunya.













