Kehilangannya telah menimbulkan gegak-gempita di kalangan pengguna-pengguna iPhone pada minggu lepas. Kini, khabar gembira buat anda apabila aplikasi Touch ‘n Go eWallet telah kembali ke Apple App Store.
Pautan terus ke aplikasi TNG eWallet di dalam senarai App Store juga tidak lagi memaparkan mesej ralat “App Not Available”. Selain itu, laman profil TNG Digital Sdn Bhd pada App Store juga kini kembali menyenaraikan aplikasi berkenaan.
Walaubagaimanapun, TNG tidak menyatakan sebab mengapa aplikasi berkenaan secara tiba-tiba hilang di dalam App Store.
Tahun ini telah menyaksikan pelbagai pembaharuan yang dibawakan oleh TNG eWallet. Selain dari menjadi salah satu edompet rasmi program ePemula, beberapa penawaran baharu juga diperkenalkan seperti skim pinjaman peribadi GoPinjam dan juga sokongan kad TNG yang dipertingkatkan baharu.













