Aplikasi Touch n Go eWallet merupakan salah satu perkhidmatan edompet terbesar di Malaysia dengan jumlah penggunanya mencecah 16 juta. Pertumbuhan bilangan pengguna aplikasi ini dijangka akan menjadi lebih pesat melalui pengenalan kad Touch n Go yang dipertingkatkan.

Pengguna lebuhraya juga dapat memanfaatkan ciri PayDirect yang disediakan untuk tujuan pembayaran tol, selain boleh juga digunakan bagi tujuan pembayaran parkir. Nilai baki di dalam Touch n Go eWallet ini juga dapat digunakan melalui kad fizikal TNG yang dipertingkatkan, dan juga melalui pelekat RFID.

Bagaimanapun, hari ini dilaporkan pengguna TNG eWallet yang menggunakan iPhone mendapati aplikasi berkenaan secara tiba-tiba ‘hilang’ di dalam Apple App Store. Perkara ini pertama kali telah dikesan oleh seorang pempengaruh popular yang mengkhususkan produk Apple, Xavier Naxa. Beliau juga mendapati carian secara manual pada App Store turut didatangkan dengan mesej ralat.

Pun begitu, aplikasi TNG eWallet ini masih lagi boleh digunakan bagi pengguna yang telah memasang aplikasi tersebut pada iPhone masing-masing sebelum kejadian hari ini. Ia cuma tidak dijumpai pada senarai aplikasi di dalam App Store.

Setakat artikel ini ditulis, pihak Touch n Go dan Touch n Go eWallet masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

Tinggalkan komentar