SAN FRANCISCO, CA, 26 Februari 2025 — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Presiden dan Ketua Divisyen Device eXperience (DX) Samsung Electronics, TM Roh, berkata pengguna di Asia Tenggara dan Oceania mempunyai jangkaan tinggi terhadap teknologi untuk menjadikan hidup lebih baik, dan Galaxy S26 Series akan menawarkan pengalaman pintar bertaraf “next-level”.

Beliau berkongsikan di dalam sesi panel kepimpinan bersama media dari Asia Tenggara dan Oceania, selepas pelancaran Galaxy S Series baharu di acara Galaxy Unpacked di San Francisco.

TM Roh menekankan permintaan kukuh terhadap teknologi di rantau ini, termasuk dapatan bahawa 9 daripada 10 golongan muda di Asia Tenggara menggunakan AI pada peranti mudah alih setiap hari.

Beliau menyifatkan Asia Tenggara dan Oceania sebagai antara pasaran paling dinamik di dunia serta rantau yang paling pantas mengadaptasi inovasi AI, sekali gus berpotensi menjadi kawasan utama bagi pembangunan AI pada masa hadapan.

Dari sudut penyesuaian tempatan (lokalisasi), Samsung mengoptimumkan Galaxy AI untuk bahasa, konteks dan persekitaran tempatan melalui tiga pusat R&D di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

“Pelanggan kami di Asia Tenggara dan Oceania meletakkan harapan yang amat tinggi terhadap teknologi terkini,” kata TM Roh.

Tambah beliau lagi Galaxy S26 dibina untuk memberikan prestasi mudah alih paling berkuasa setakat ini, meningkatkan pengalaman kamera ke tahap seterusnya. Ia juga berkeupayaan membantu pengguna menyiapkan tugasan harian dengan lebih pantas dan lebih natural melalui Galaxy AI yang dipertingkat.

Samsung turut menyifatkan siri Galaxy S26 sebagai langkah penting dalam pendekatan “agentic AI”. Matlamatnya bagi memudahkan pengguna untuk menyelesaikan tugasan dan membolehkan AI membantu secara senyap di latar belakang bagi memudahkan kehidupan seharian.

TM Roh turut berkongsi bahawa 67% jualan siri Galaxy S25 di Asia Tenggara dan Oceania adalah model Galaxy S25 Ultra, yang menurut beliau mencerminkan permintaan pengguna terhadap pengalaman mudah alih premium. Beliau juga memaklumkan jualan Galaxy S25 Series di rantau ini mengatasi generasi terdahulu, dengan momentum meningkat melalui ulasan kes penggunaan sebenar serta cadangan dari mulut ke mulut. Bagi siri Galaxy S26, Samsung menyatakan pelancaran fasa pertama akan melibatkan lima pasaran iaitu Thailand, Australia, Vietnam, Malaysia dan Singapura

Samsung menjangkakan Galaxy S26 Series akan memenuhi jangkaan tinggi pengguna Asia Tenggara dan Oceania melalui gabungan prestasi, kamera dan keupayaan Galaxy AI yang lebih dipertingkat, di samping penyesuaian ciri untuk keperluan tempatan.

Tinggalkan komentar