TM baru-baru ini telah menerbitkan satu iklan acah pada laman Facebook dan Twitter rasminya yang memberikan bayangan mengenai produk terkininya. Selain dari tanda pagar #KotakApaNi, dan tarikh pengumumannya pada 2 Disember ini, tidak banyak info yang dikongsikan menerusi iklan tersebut.
Berdasarkan tanda pagar yang digunakan, dijangkakan TM akan memperkenalkan perkenalkan perkhidmatan akses wayarles tetap (fixed wireless access, FWA) 5G melalui Unifi. Tambahan pula TM baharu sahaja menawarkan akses 5G kepada pelanggan Unifi Mobile yang buat masa ini hanya terhad untuk kegunaan pada telefon pintar sahaja.
Bagi anda yang ingin mendapatkan perkhidmatan jalur lebar wayarles dari TM buat masa ini, anda kini ditawarkan dengan satu pilihan sahaja iaitu Unifi Air yang berasaskan LTE. Sejak dilancarkan pada 2019, harga yang ditawarkannya masih lagi kekal RM79 sebulan sehingga kini.
Stay tuned… 2 December 2022#KotakApaNi pic.twitter.com/junqdm069S
— Yunni (@unifi) November 25, 2022
Tidak dapat dipastikan jika penawaran perkhidmatan baharu tersebut turut menawarkan kotak IPTV. Cuma agak janggal jika dilancarkan dalam waktu terdekat ini memandangkan TM baharu sahaja melancarkan Unifi Plus Box pada Mei lalu.
Setakat ini di Malaysia hanya YTL Communications sahaja yang menawarkan perkhidmatan FWA 5G melalui pelan Yes Wireless Fibre 5G yang dilancarkan pada September baru-baru ini.
Bagaimanapun segala persoalan mengenai iklan yang dijangka pengenalan produk baharu TM ini bakal dirungkai pada hari pengumuman tersebut. Sama-sama kita nantikan.













