TM telah mula mengacah pakej Unifi Home baharu yang menawarkan kelajuan memuat turun maksimum 2Gbps. Sebagai perbandingan, pelan Unifi Home terpantas dari TM buat masa ini adalah 800Mbps.
Pakej baharu ini pertama kali dinyatakan di dalam halaman Facebook dan Twitter rasmi TM Unifi Jumaat baharu ini. Di dalam hantaran yang sama juga, disertakan pautan ke halaman yang membolehkan pengunjung mendaftar minat untuk pakej tersebut. Selepas pendaftaran minat dibuat, pihak TM akan menghubungi semula pelanggan berkenaan untuk rujukan susulan.
Setakat ini tidak banyak perincian lanjut mengenai pelan baharu ini yang dijangka akan dikenali sebagai Unifi Ultra. Harga langganannya juga masih belum diketahui dan berdasarkan harga penawaran pakej-pakej Unifi Home lain buat masa ini, pelan ini mungkin ditawarkan pada harga bulanan yang tinggi.
THE ULTRA EXPERIENCE, coming to you soon. https://t.co/zilALhLgV0 pic.twitter.com/AX5Eg83YKe
— Yunni (@unifi) March 24, 2023
Sebagai perbandingan, pelan Time Fibre Home 2Gbps berharga RM379 sebulan, manakala TM melalui Unifi Home 800Mbps pula berharga RM299 sebulan. Tidak mustahil harga pelan 2Gbps ini kelak berharga sekitar RM400.
Walaubagaimanapun, terdapat juga kemungkinan harga untuk pelan baharu ini akan ditawarkan pada harga yang lebih mesra pengguna. Ini berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) berkuatkuasa 1 Mac lalu bagi memudahkan rakyat menikmati akses internet berkualiti pada harga yang munasabah.













